Henti takutkan belia sokong gerakan #Lawan, Bersih 2.0 beritahu polis

 

Lebih 100 kenderaan dikatakan menyertai konvoi #Lawan yang diadakan seluruh negara pada Sabtu lalu

PETALING JAYA: Kumpulan pembaharuan pilihan raya, Bersih 2.0 menggesa kerajaan dan polis berhenti menakutkan belia selepas seorang aktivis dikaitkan dengan gerakan #Lawan ditahan dan dibebaskan.

Sarah Irdina Mohamad Ariff, pengasas kumpulan berasaskan belia Misi Solidariti, dibebaskan kira-kira 1 pagi tadi selepas disoal siasat selama 10 jam atas dakwaan menghasut dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Terdahulu, tiga aktivis muda – Tharma Pillai, Afiq Adib dan Muhammad Alshatri – turut dipanggil untuk disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung bantahan #Lawan di Dataran Merdeka esok.

Bersih 2.0 berkata, ia “sangat prihatin” dengan tindakan kerajaan dan polis masih menggunakan “taktik mengganggu dan mengintimidasi rakyat” yang hanya bersuara menyuarakan kekecewaan mereka dengan kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik dan ekonomi negara.

Sarah Irdina Mohamad Ariff.

“Intimidasi ini bukan hanya menguatkan tekad mereka yang menjadi sasaran intimidasi, malah rakyat Malaysia yang rasional yang geram dengan taktik pembulian tersebut.

“Bersih 2.0 mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersolidariti dengan anak muda yang hanya mengamalkan hak Perlembagaan mereka untuk bersuara dan berhimpun secara aman.

“Mereka hanya memperjuangkan tuntutan mereka dan suara serta aspirasi mereka wajib didengari.”

Polis menahan Sarah yang berusia 20 tahun di bawah Akta Hasutan susulan ciapannya pada 1 Julai lalu yang menggesa rakyat menyokong bantahan #Lawan dengan mengibar bendera hitam jika mereka bersetuju dengan tuntutan agar Perdana Menteri meletak jawatan, Parlimen bersidang semula dan menamatkan darurat.

Bersih 2.0 menggalakkan mereka yang mahu menyokong bantahan aman #Lawan pada 11 pagi esok supaya memastikan mereka memakai pelitup muka dengan betul, mengamalkan penjarakan sosial dan mematuhi arahan penganjur.

Bagi mereka yang tidak dapat menyertai bantahan itu sendiri, mereka boleh bersolidariti dengan berpakaian hitam atau menaikkan bendera hitam esok.