Politik sedang hanyut dengan
kedegilan, kegilaan, ketamakan dan ketidak-keruan. Sukar untuk meyakini dan
mempercayai sesiapa setakat ini. Rakyat sedang merana, pandemik makin
berterusan naik dengan angka menakutkan, bunuh diri kerana kesempitan dan
tekanan menjadi-jadi, ekonomi terus merudum dan kesengsaraan demi kesengsaraan
menghimpit rakyat.
Politikus?
Berenak-enakkan di kerusi empok dan ada yang mendapat habuan sebagai Timbalan
Perdana Menteri dan Menteri Kanan.
Hakikatnya
rakyat diabaikan. Tujuh kegagalan kerajaan PN yang disenarai oleh Presiden Umno
dengan sekaligus menarik sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin selaku PM tidak
diendahkan.
Anggota-anggota kabinet yang mewakili partinya sendiri seakan
mengabaikan keputusan tersebut dan menjadikan ia bahan untuk bertelingkah
pendapat sesama kepimpinan Umno. Siapa yang benar dan siapa pendusta besar
(Biggest Liar), rakyat tidak tahu!
Ada
pemimpin yang tidak tahu malu dan lidah bukan setakat bercabang dua, malah
bercabang-cabang. Baru sehari mengatakan Umno tidak melobi kedudukan Timbalan
Perdana Menteri dan MKT telah putus tidak terima jawatan, sehari kemudian
pimpinan muda yang sama melutut mengadap Timbalan Perdana Menteri yang tidak
dilobinya!
Di
sebalik yang lain, seorang pimpinan kanan Umno yang juga merupakan ahli MKT
ketika diwawancara oleh penganalisis politik Datuk Zaharin Mohd. Yasin
menyatakan bahawa daripada 56 orang ahli MKT, 46 ahli MKT layak mengundi telah
bersetuju menyokong keputusan MKT seperti yang di umumkan oleh YB Presiden,
dengan 3 ahli MKT tidak bersetuju (1 menolak, 1 berkecuali dan seorang KIV).
Daripada
jumlah tersebut menurut beliau lagi 35 menyokong tanpa syarat dan selebihnya
bersyarat!. Tetapi kini kenapa pelbagai ulasan telah keluar termasuk oleh
pelbagai pihak termasuk yang tidak menganggotai MKT dengan menggambarkan pula
bahawa ramai ahli MKT tidak bersetuju dengan Presiden.
Ada
pula rakaman audio mesyuarat yang bocor dan rakaman haram dilakukan oleh
seseorang atau beberapa orang, yang kemudian mendedahkannya kepada awam.
Sungguh tidak beretika dan bermoral! Kalaulah benar MKT menolak syor tidak
menyokong dan mendokong TSMY serta merta, kenapa dibiarkan DSZH membuat sidang
media live diawal pagi seusai mesyuarat MKT Umno? Siapakah berkata benar dan
siapa pula pendusta besar?
Dengan angka kes baharu Covid-19
yang mencanak naik melepasi 9,000 kes baharu sejak tiga hari lalu, menunjukkan
kerajaan tidak mendengar pandangan pakar dan ahli politik di luar dari PN dalam
menghadapi pandemik tahap merunsingkan ini.
Benarlah
ungkapan Presiden Umno bahawa kerajaan ini Kerajaan Gagal. Benarlah hujah Ketua
Pembangkang DS Anwar Ibrahim bahawa pendekatan kerajaan PN tidak berdasarkan
data-raya yang tepat (actual and real big data), pendekatan pemulihan yang tidak
berstrategi, polisi flip-flop dalam perintah kawalan pergerakan, menyalahguna
proklamasi darurat yang kononya bertujuan untuk membasmi wabak dan melandaikan
jangkitan (akan tetapi sejak darurat diisytihat tiada bukti langsung pandemik
di negara ini reda dan landai jangkitan).
Kerajaan
gagal ini seperti hujah DS Presiden Umno telah menidakkan sebelum ini titah Di
Raja supaya parlimen bersidang segera untuk membentang dan membahas agenda
menghadapi pandemik.
Parti
Pejuang yang baru diluluskan pendaftaran pula melalui kenyataan oleh Presiden
Datuk Seri Mukhris Mahathir telah mengesyorkan semula cadangan penubuhan Majlis
Pemulihan Negara (MPN). Kononnya untuk menyejukkan ‘suhu’ politik.
MPN
akan mengambil alih kuasa kabinet sehingga PRU ke 15. Ini satu lagi cadangan
yang bukan untuk meredakan suhu politik malah akan menyebabkan suhu politik
lebih membara dan menggelegak, kerana melalui cadangan ini sudah pasti ada yang
bercita-cita untuk menjadi Pengerusi MPN kalau pun tidak dapat menjadi PM
semula. Lebih baik abaikan cadangan ini, pergi ke Parlimen segera berbahas dan
cari penyelesaian bersama demi untuk rakyat dan kerana rakyat!
Sewajarnya Parlimen bersidang seperti yang telah diputuskan bagi
membahas dengan teliti ordinan-ordinan darurat, menyemak semua dana yang telah
diguna selama hampir setahun lebih terutama semenjak proklamasi darurat,
membahas pelan cadangan oleh kerajaan PN yang lemah dan semput untuk mentadbir
pandemik ini apatah lagi mengurus negara dari pelbagai sudut.
Biarkanlah
Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi persekutuan bersidang dan
memutuskan secara bersama akan kaedah-kaedah terbaik untuk mengatasi pandemik
ini secara tuntas, berstrategi, berasas data sains yang tepat dan berpandukan
kaedah kesihatan awam yang tersusun.
Kita
boleh kembali pulih dan berjaya tanpa mencipta satu lagi helah berpolitik untuk
berkuasa melalui Majlis Pemulihan Negara. Do it Right and Do It Together!
Cadangan MPN boleh didengar tapi untuk percaya siapa yang berkebolehan
mentadbirnya dengan sikap non-partisan, jujur, tidak berpihak dan sedia
mendengar adalah amat sukar.
Apakah
jalan kehadapan. Umno telah menyatakan pendirian (jika benarlah) menolak
kepimpinan TSMY serta-merta (mulai 8hb Julai 2021). Kalau Umno tidak lagi
menyokong TSMY sebagai organisasi, maka maknanya kesemua MP Umno tidak lagi
menyokong dan mendokong TSMY.
Katalah
sebahagian yang punya kepentingan dan kedudukan dalam kabinet TSMY ingkar
dengan keputusan MT Umno, majoriti masih tidak berpihak kepada TSMY, walaupun
Pejuang dan muda memilih untuk berada bersama TSMY yang mengkhianati mereka.
Beliau sebenarnya sudah tiada pilihan, melainkan berundur sebelum
Parlimen bersidang pada 26 Julai ini atau adakah beliau mahu senasib dengan
Timbalan Presidennya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Peja) yang diturunkan dari
‘takhta’ Menteri Besar Perak melalui undi percaya.
Sudah
pastilah keputusan terbaik adalah sebelum 26 Julai kerana aib dan mudaratnya
tidaklah seburuk menghadapi undi percaya terhadap PM oleh ahli Parlimen. Jika
TSMY berjiwa rakyat dan negarawan beliau harus mendahulukan rakyat. Beliau
harus melihat betapa parahnya ekonomi di ketika beliau memerintah.
Laporan
Bloomberg terkini mengesahkan bahawa ekonomi Malaysia sedang bermasaalah,
kerajaan tidak berfungsi dan Malaysia mengikut rumusan Bloomberg hampir kepada
Negara Gagal! (Malaysia Economy in Trouble. Government is Dyfunctional.
Malaysia is closed to a Failed State, Bloomberg , 09 Julai 2021).
Laporan
The Economist dua minggu lalu pula meletakkan Index tercorot Malaysia dalam
menghadapi pandemik dan kesannya terhadap ekonomi! Adakah TSMY dan Kabinetnya
mahu bertahan dalam keadaan gagal berpanjangan dan memusnahkan negara?
——————
Penulis
merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan dan tulisan ini
adalah analisis peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian akademi.