Jangkitan harian Covid 19 yang tinggi melebihi 10,000 kes dan
mungkin berlanjutan sehingga akhir bulan boleh sahaja digunakan sebagai alasan
oleh kerajaan untuk menangguhkan sidang Parlimen pada 26 Julai ini.
Hal itu dibangkitkan oleh Senator Ismail Yusof dalam siaran
langsung Facebook, malam tadi.
Katanya, jangkitan yang telah melewati angka keseluruhan 800,000
kes menjadi dalih ampun bagi menangguhkan sebarang majlis rasmi.
"Kerajaan Mahiaddin Yassin mungkin punya alasan kukuh untuk
menaggguhkan sidang Parlimen yang akan diadakan dalam beberapa hari ini.
"Apatah lagi sampai hari ini Ahli-ahli Parlimen kita di Dewan
Rakyat juga Dewan Negara semuanya belum dapat kenyataan (jemputan) secara rasmi
untuk menghadiri sidang Parlimen yang dikatakan akan dibuka pada masa yang
terdekat," katanya.
Menurut beliau lagi, jika keputusan menangguhkan sidang itu dibuat
maka akan ada pula ahli akademik serta pakar undang-undang yang mewajarkan
tindakan sedemikian, biar pun bertentangan dengan amalan negara demokrasi dan
titah Yang di-Pertuan Agong.
"Percayalah apabila kerajaan membuat keputusan untuk
menangguhkan sidang walaupun titah Yang di-Pertuan Agong sudah tiga kali
dikeluarkan agar Parlimen segera bersidang untuk membincangkan hal Covid 19,
masalah ekonomi negara dan rakyat.
"Maka akan ada pula profesor maha dewa dan kayangan yang akan
memberikan hujah mereka untuk mewajarkan tindakan kerajaan gagal ini,"
katanya sinis.
Sidang Parlimen dijadual bermula pada 26 Julai ini dengan dimulai
mesyuarat khas Dewan Rakyat sehingga 2 Ogos. Selepas itu sidang Dewan Negara
akan dimulakan selama 3 hari.