KENYATAAN MEDIA
Svara ingin menarik perhatian ramai dan menzahirkan rasa tidak
senang terhadap tindakan intimidasi oleh pihak polis terhadap Anna Har dari
Freedom Film Network (FFN) dan pelukis Amin Landak. Semalam, 2 Julai 2021,
pihak polis telah memanggil kedua-dua mereka ke Bukit Aman untuk disoal siasat
berkaitan filem animasi yang berjudul “Chilli Powder and Thinner.” Filem berdurasi
kurang empat minit itu menceritakan kisah benar dari testimoni seorang mangsa
yang mendakwa diseksa semasa berada dalam tahanan polis.
Tidak hanya berakhir dengan soal siasat, pihak polis kemudiannya
mengunjungi pejabat FFN dan kediaman Amin Landak serta merampas beberapa
peralatan elektronik untuk siasatan lanjut. Ini jelas satu tindakan membuli
yang bertujuan untuk mengganggu dan menakut-nakutkan warga Malaysia untuk meluah dan menyatakan pandangan kritis mereka. Kami memandang serius perkara ini dan melihatnya sebagai ancaman terhadap kebebasan bersuara dan berfikir dinegara ini.
Kebebasan bersuara seluruh warga negara ini dijamin oleh Perkara
10 Perlembagaan Persekutuan. Ia bukan sahaja hak asasi, tetapi sudah menjadi
sebahagian daripada teras struktur yang membentuk perlembagaan yang kita
junjung selama ini.
Kekesalan kami antara lainnya adalah kerana ketika seluruh warga
negara ini sedang berdepan dengan segala macam himpitan akibat pandemik
Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak berkuasa dan kerajaan
yang semakin terserlah ketidak-mampuannya mengendalikan situasi berkenaan tetapmemilih untuk menekan dan menindas warganya sendiri dengan cara intimidasibegini. Sedangkan, perhatian sengaja dialihkan daripada pokok permasalahan yangdibangkitkan dalam video berkenaan, iaitu tentang kes-kes kematian warga negaraMalaysia ketika dalam tahanan polis masih terus berlaku tanpa sebarang tindakan tegas.
Untuk rekod, bagi tempoh tahun 2013 hingga April 2016, seperti
yang didedahkan dalam video berkenaan, seramai 721 individu dilaporkan mati
ketika berada dalam tahanan polis. Ini perkara sebenar yang memerlukan siasatansegera, dan tindakan tegas daripada kerajaan serta bagaimana untuk mengelakkandaripada kejadian seumpamanya berulang. Bukannya menggunakan kuasa untuk menekan rakyat seperti yang ditunjukkan dalam hal ini.
Untuk menjadi sebuah negara matang dan disanjung, kuasa tidak
boleh dijadikan alat untuk menindas. Nurani dan kebijaksanaan berfikir dari
semua kelompok terutama yang memegang kekuasaan perlu dilandaskan kepada undang-undang dan kebenaran. Bukan sebaliknya.
Untuk itu, Svara juga menyokong dua tuntutan bersama yang
diusulkan oleh Centre for Independent Journalism (CIJ):
1. Untuk pihak berkuasa menggugurkan semua penyiasatan dan menghentikan
segala bentuk intimidasi dan tindak kekerasan terhadap Anna Har, FFN, Amin
Landak, whistleblower dan semua yang terlibat dengan filem animasi berkenaan.
2. Segera menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku
Polis (IPCMC) tanpa lengah dan dolak-dalih, agar kebertanggungjawapan dan
profesionalisme pihak polis sentiasa dijunjung.
—Editorial Svara, 3 Julai 2021.