Buat apa salahkan PBT tak tutup kilang, kuasa ada pada KPKT
Propaganda media pro kerajaan dan pemimpin Perikatan Nasional (PN) menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor kerana tidak menutup kilang sebagai punca utama tidak terkawalnya wabak Covid 19 di Malaysia adalah percubaan memperbodohkan minda rakyat.
Menurut Exco Selangor, Rodziah Ismail, tanggungjawab menutup kilang sekiranya mahu dibebankan ke bahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) maka arahannya perlu dijelaskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mengawal hal ehwal perundangan dan dasar PBT.
“Menteri KPKT patut persoalkan tindakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dulu sebelum salahkan PBT.
“Hari ni saya nak tanya kepada Menteri KPKT. Sebelum sesuatu kenyataan dibuat, menteri sudah bincang dan kajikah kes melonjak naik melebihi 13,000 sehari itu dari mana puncanya?
“Pengarah Kesihatan Malaysia beri tahu 80% punca jangkitan adalah dari Kluster Kilang, kenapa perkara ni berlaku?
“Kilang-kilang dan perniagaan dibuka sedangkan pekerja-pekerja belum 100% divaksin. Menteri KPKT patut tanya kepada
MITI dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kenapa benarkan kilang-kilang dibuka,” kata Rodziah.
Ketua Wanita KEADILAN Selangor itu juga membidas menteri MITI yang sering mengeluarkan arahan tanpa berfikir secara mendalam dan waras.
Katanya, sewajarnya sebelum kilang dibuka para pekerja sektor itu dipastikan telah divaksin secara besar-besaran.
Namun polisi kerajaan PN terbalik, iaitu memvaksin besar-besaran warga emas yang telah bersara dan tidak mungkin mencetuskan kluster tempat kerja.
“Sepatutnya bila membuat sesuatu arahan, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, faktor “kawalan” dan “pencegahan” diutamakan
“Kenapa Menteri MITI bagi kilang-kilang dan perniagaan tertentu beroperasi?
“Buatlah peraturan misalnya hanya kilang dan perniagaan yang mana 100% pekerja telah divaksin sahaja boleh dibuka. Demi keselamatan semua pihak, ekonomi penting tetapi nyawa dan keselamatan rakyat juga penting,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar MKN membuat peraturan tegas kepada sektor industri dan tidak lagi membenarkan pekerja yang belum divaksin datang bekerja.
Untuk itu katanya, Menteri MOSTI, Khairi Jamaluddin perlulah menyegerakan bekalan vaksin Covid 19 kepada sektor indutri essential
“Mana-mana pihak yang langgar peraturan atau tidak patuh SOP (selepas dasar itu dibuat) boleh diambil tindakan oleh penguatkuasa dari PBT atau polis
“Jadi, kesemua Menteri yang terlibat janganlah bercanggah arahan antara satu sama lain. Mandat kepada anda semua adalah untuk mencari penyelesaian masalah. Bukan anda pula jadi sebahagian dari masalah,” katanya lagi.
Tegas Rodziah, para menteri PN janganlah ‘sedap mulut’ mengeluarkan kenyataan karut marut sedangkan rakyat di bawah mahukan penyelesaian yang realistik malapetaka Covid 19.