Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kelmarin bersetuju untuk memberi
satu dos awal vaksin Covid 19 kepada seluruh rakyat Selangor dan Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur yang terjejas teruk akibat jangkitan pandemik sejak
beberapa bulan lalu.
Menurut Pengerusi Biro Kesihatan KEADILAN Perak, Dr Ahmad Safwan
Mohamad, tindakan tersebut yang digerakkan di bawah “Operation Surge Capacity”
dan diumumkan kelmarin oleh Perdana Menteri Mahiaddin Yassin merupakan
pengiktirafan kepada idea Presiden KEADILAN sejak Mac lalu, agar setiap seorang
warganegara diberikan satu dos awal bagi melindungi dari jangkitan Covid dan
bukannya melengkapkan dua dos sementara ramai yang lain terdedah kepada risiko
hilang nyawa.
"Kami menyambut baik tindakan berkenaan selaras dengan
saranan pakar-pakar berpandukan dapatan pemerhatian yang dibuat di beberapa
negara termasuk United Kingdom. Ini akan dapat membantu mengurangkan dampak
penularan Covid-19, sekaligus dapat membantu mengurangkan kepenatan di kalangan
kakitangan hospital.
"Dalam keterujaan kita menyambut tindakan ini, jangan kita
lupa bahawa saranan yang sama pernah diutarakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim
sejak bulan Mac 2021 lagi
"Malangnya, seperti biasa, pihak kerajaan gagal mengambil
nasihat beliau dan pakar-pakar lain secara konstruktif demi kebaikan
negara," kata Dr Ahmad dalam satu kenyataan.
Dr Ahmad Safwan Mohamad
Menurut beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Negeri
Perak, dalam keadaan kritikal dan negara tertumpu ke arah menyelamatkan lebih
banyak nyawa, isu Covid 19 tidak wajar dipolitikkan.
Katanya, sekiranya kerajaan PN tidak lagi mampu untuk meneruskan
perang melawan Covid maka sebaik-baiknya mereka menyerahkan kerajaan kepada
pihak lain yang lebih berwibawa.
"Kami mendesak pihak kerajaan agar hentikan permainan
bertindak demi kepentingan politik dan fokuslah kepada pengurusan Covid-19
secara tuntas, dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuklah dari
pihak pembangkang
"Juga pada saat ini, amat penting Parlimen kembali bersidang
sepenuhnya dan isu berkaitan rakyat dibahaskan dengan sebaik-baiknya.
"Sekiranya kerajaan gagal menjamin ketelusan dan kejujuran
itu, maka wajarlah Perdana Menteri mengundurkan diri demi kebaikan
negara," katanya lagi.
Untuk ekod, di bawah “Operation Surge Capacity” seluruh warga
negeri Selangor dan Kuala Lumpur berumur 18 tahun ke atas akan diberikan vaksin
dos pertama bagi mengekang penularan Covid-19 dalam respons segera kepada
peningkatan sekitar 5,000 kes jangkitan harian di negeri dan wilayah berkenaan
dalam seminggu terakhir.