PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyerahkan usul untuk perbahasan diadakan pada sidang Dewan Rakyat akan datang, bukannya mesyuarat yang dikhaskan bagi pembentangan urusan kerajaan.
Usul itu diserahkannya pada Isnin.
Katanya, beliau mahu memastikan ada perbahasan telus dan komprehensif mengenai Ordinan Darurat, keadaan Covid-19, vaksinasi, perbelanjaan kerajaan dan Pelan Pemulihan Negara.
Dalam usul itu, katanya, Ordinan Darurat gagal mencapai matlamat diharapkan untuk mengurangkan jangkitan Covid-19, manakala keadaan ekonomi negara bertambah buruk.
Presiden PKR itu berkata, rakyat menderita dari segi kewangan menyebabkan jurang antara orang kaya dan miskin semakin melebar serta wujud segmen pendapatan “B60”.
Angka itu adalah rujukan kepada label “B40” dan “M20” yang digunakan kerajaan untuk merujuk 40% golongan berpendapatan rendah (B40) dan 20% berpendapatan sederhana (M20).
Angka B60 Anwar adalah cadangan 60% populasi kini berada di segmen bawah.
Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong, ketika menggesa Parlimen bersidang semula secepat mungkin, mahu Dewan Rakyat membincangkan ordinan itu, pandemik, vaksinasi, perbelanjaan kerajaan dan Pelan Pemulihan Negara.
Pada 5 Julai, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mesyuarat khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 diadakan selama lima hari mulai 26 Julai ini dan Dewan Negara selama tiga hari bermula 3 Ogos.
Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Rashid Hasnon dilaporkan berkata, mereka masih menunggu notis Kabinet sebelum boleh memaklumkan kepada Ahli Parlimen agenda persidangan.
Katanya, Ahli Parlimen biasanya menerima notis 28 hari, tetapi di bawah Peraturan Mesyuarat 11(3) Dewan Rakyat, mereka memerlukan notis khas daripada Kabinet memandangkan ia adalah persidangan khas.
Sebaik sahaja Parlimen menerima notis itu, katanya, Ahli Parlimen akan mengadakan mesyuarat untuk mengundi sidang hibrid dan membincangkan logistik persidangan kerana ada yang akan menghadiri persidangan itu sendiri, manakala yang lain mendaftar secara dalam talian.