Antara pembentangan Menteri Kesihatan dan perbahasan Dr Dzulkefly: Netizen kata bagai langit dengan bumi

 

Antara pembentangan Menteri Kesihatan dan perbahasan Dr Dzulkefly: Netizen kata bagai langit dengan bumi

July 28, 2021 

Hari ini giliran YB Menteri Kesihatan untuk membentangkan perancangan kerajaan terkait dengan kesihatan awam khususnya pandemik Covid-19. Selepas pembentangan tersebut, Ketua Pembangkang memberikan peluang kepada MP Kuala Selangor, YB Dr. Dzulkefly Ahmad yang merupakan mantan menteri kesihatan untuk membahaskan pembentangan Menteri Kesihatan.

Apa yang ingin diulas adalah berkaitan pembentangan Menteri yang begitu panjang lembar, namun tidak punya jalan yang jelas arah mana nak dibawa kesihatan awam kita. Dewan jadi lesu dan membosankan. Sehingga ada seorang MP Pembangkang memohon agar nota PDF tentang pembentangan tersebut diberikan kepada semua MP. Ia boleh menghilangkan bosan.

Seterusnya, perancangan yang dibentangkan seolah-olah tiada jalan keluar yang mampu ditunjukkan oleh kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19 ini. Malang seribu kali malang, negara ini makin tersepit bukan semata-mata kerana dasyatnya Covid-19 tetapi lebih teruk kerana kerajaan hilang arah tuju mengemudi bahtera kesihatan.

Giliran Dr. Dzul untuk membahaskan pembentangan itu, walaupun diselitkan dengan celahan yang begitu ramai, namun mesej Dr. Dzul yang ingin disampaikan amat jelas sekali. Disulami dengan langkah-langkah yang diambil di Negeri Selangor, Dr. Dzul juga sesekali menyinggung kegagalan kerajaan dalam mengenalpasti masalah sebenar kesihatan negara.

Segala rakyat perlu diingat, bahawa hari terakhir Dr. Dzul menjadi Menteri Kesihatan, hanya 2 rakyat masih positif dan tiada kes baru. Tetapi setelah kecurangan yang berlaku kepada negara, ia dipimpin oleh mereka yang hauskan kuasa namun gagal mengurus pandemik. Saya yakin, walaupun Dr. Dzul bukan lagi menteri, tetapi kecaknaannya dan kesungguhannya mengikut rapat masalah pandemik ini terserlah dalam perbahasan beliau tadi.

Apabila menggulung, Menteri Kesihatan banyak tidak menjawab soalan asas yang diajukan khususnya pembangkang. Lebih teruk lagi penggulungan itu diapit dengan jeritan timbalan menteri yang mahu semua diam, sedangkan banyak soalan tak terjawab menyebabkan mereka terpaksa mencelah jawapan menteri.

Akhirnya, MP dari parti agama mencuri perhatian saya yang tidak mendokong fakta apabila mahu menepis asakan pembangkang, yang paling kuat pun mereka celah dengan berkata, sekarang kamu bukan menteri, dulu masa memerintah apa dibuat? dan meroyan jela kuala selangor. Dr. Dzul bangkitkan hampir 1 juta rakyat dah dijangkiti Covid-19 tetapi boleh MP parti agama kata itu meroyan. Bayangkan, sampai begini sekali parti komponen kerajaan kabur dengan masalah rakyat.

Ternyata antara pembentangan Menteri Kesihatan dan Perbahasan Dr. Dzulkefly, bagai langit dengan bumi bezanya, dimana Dr. Dzul lebih bersedia memikul amanah sebagai menteri kesihatan dan memahami masalah sebenar negara kita!!!

SYAZMIR HARIZ BIN NOORAZALAN