
Yang
di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita
dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan membatalkan
semua ordinan, walhal belum lagi diperkenan baginda, kata Datuk Pengelola
Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.
Dalam satu kenyataan Fadil berkata, Agong menegaskan
kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang)
Takiyuddin Hassan pada Isnin adalah tidak tepat dan mengelirukan Ahli Dewan
Rakyat.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah
diperkenan dan dititahkan kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Tan Sri Idrus Harun,
Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa
cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen
bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan
itu menegaskan, Perkara 150 (2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan
Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan
Ordinan Darurat terletak pada Yang di-Pertuan Agong.
Istana Negara memaklumkan, baginda turut menegaskan
bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai
yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan
kenyataan bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal
menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun
Negara, malah membelakangi fungsi dan kuasa Agong selaku Ketua Utama Negara
seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Seri Paduka
Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah
Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa
Baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan
nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan
oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” tambah kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, Agong menzahirkan penghargaan
kepada pihak kerajaan di atas pelaksanaan persidangan Parlimen yang bermula
pada Isnin lalu dan sejajar dengan saranan Raja-Raja Melayu dalam Perbincangan
Khas diadakan pada 16 Jun lalu supaya Parlimen dapat diadakan sebelum tamatnya
Darurat.
Kenyataan itu berkata, Agong menegaskan Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi Sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah dihadapi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.