PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mempersoalkan tujuan perisytiharan darurat sekiranya kerajaan tidak dapat menggunakan kuasanya untuk mengarahkan bank melaksanakan moratorium pinjaman menyeluruh.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz pada sidang media semalam, mengenai skop terhad moratorium pinjaman yang diumumkan sebagai sebahagian daripada pakej bantuan Permerkasa Plus.
Tidak seperti perintah kawalan pergerakan pertama (PKP) pada Mac 2020, moratorium kali ini tidak automatik dan tidak dilaksanakan secara menyeluruh.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan tidak punya kuasa untuk menentukan apa yang dapat disediakan oleh moratorium bank atau bagaimana ia dilaksanakan.
Sebaliknya, beliau berkata moratorium pilihan yang baharu diumumkan itu adalah hasil perbincangan antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank-bank.
Dalam catatannya di Facebook hari ini, Syed Saddiq berkata, jika pengisytiharan darurat memberikan kerajaan kuasa yang komprehensif untuk menyediakan keperluan rakyat, seperti meluluskan penggunaan dana tanpa perbahasan Parlimen, membenarkan moratorium pinjaman menyeluruh sepatutnya tidak banyak berbeza.
“Bukankah itu dibenarkan? Apa tujuan darurat jika ini adalah satu-satunya tindak balas yang dapat diberikan oleh menteri kewangan? ” soal Syed Sadiq.
“Adakah orang-orang hanya miskin, lapar dan sakit semasa PKP 1.0, tetapi tidak pada PKP 3.0?”
Syed Saddiq berkata, walaupun melaksanakan moratorium tahun lalu, bank masih dapat mencatat keuntungan pada suku pertama tahun ini, sambil mempersoalkan bahawa bank tidak mungkin bermasalah untuk memenuhi langkah bantuan.