PETALING JAYA: Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Speaker Dewan Negeri Selangor bagi memulakan perancangan membuka secepat mungkin persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, hasil perbincangan itu akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Justeru saya percaya titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja-Raja Melayu agar Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri segera bersidang.
“(Ini) adalah selaras dengan aspirasi rakyat agar usaha menangani Covid-19 dapat dinilai dan dibahas penambahbaikannya di samping memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Amirudin turut menyambut baik titah Agong dan Raja-Raja Melayu terhadap persoalan semasa dalam negara, khususnya usaha menangani Covid-19 ketika ini.
“Titah Agong dan Raja-Raja Melayu melambangkan keprihatinan dan kepedulian Baginda-baginda Tuanku terhadap nyawa dan kehidupan rakyat, adalah amat dihargai dan dinanti-nantikan.
“Ini jelas menunjukkan Baginda-baginda Tuanku tidak pernah terpisah daripada realiti serta keluh-kesah rakyat seluruhnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata beliau berhasrat menggunakan peruntukan sedia ada dalam Ordinan Darurat untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong melalui Yang di-Pertua Pulau Pinang untuk DUN bersidang segera.
“Berdasarkan kepada pendirian kerajaan negeri di atas, Ketua Menteri akan mendapatkan persetujuan Yang di-Pertua Pulau Pinang untuk menulis warkah kepada Agong akan niat kerajaan negeri agar dapat dipertimbangkan oleh Agong.
“Dalam apa jua keadaan, kerajaan negeri mahupun Dewan Undangan Negeri tidak akan sesekali mengambil risiko dan mengabaikan tanggungjawab berhubung kaedah serta prosedur yang akan digunakan bagi mengawal jangkitan pandemik Covid-19 semasa persidangan,” katanya.
Beliau berkata, ini termasuk mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negara, khususnya jika penularan Covid-19 masih tinggi di Pulau Pinang.
Di Johor, Speaker DUN, Suhaizan Kayat, berkata pihaknya masih menunggu tarikh yang akan ditetapkan Menteri Besar, Hasni Mohammad sebelum menyerahkan notis mengadakan persidangan dalam tempoh 21 hari dari tarikh ditetapkan.
“Kuasa (mengadakan sidang DUN) bawah Menteri Besar, beliau akan menasihat Sultan Johor untuk mengadakan sidang DUN, mungkin baru lagi semalamkan. Saya rasa semua sedang diproses,” katanya ketika dihubungi FMT.