Ramai sokong wanita dedah ‘pandu uji’ MB
GEORGE TOWN: Ahli politik dan aktivis menyuarakan sokongan mereka terhadap seorang wanita yang mendedahkan tindakan didakwa melanggar SOP perintah kawalan pergerakan membabitkan Menteri Besar Kedah dan dua pembantunya ketika “memandu uji kereta” Sabtu lalu.
Suri rumah Nini Siron, 36, yang membuat laporan polis berhubung pelanggaran SOP jelas itu, kemudiannya diserang dalam talian, dengan gambar keluarga dan anaknya disebarkan secara meluas di media sosial.
Wanita itu memuat naik gambar dan video seorang lelaki menyerupai Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sedang memandu uji sebuah kenderaan baru, aktiviti yang dilarang di bawah peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Pembantunya kemudian menafikan ia adalah pandu ujian, sebaliknya mereka sekadar melihat kenderaan itu ketika berhenti untuk membeli makanan.
Aktivis, Marina Mahathir berkata, serangan ke atas Nini ialah tindakan pengecut kerana beliau sekadar menunjukkan sikap dwistandard.
“Adakah MB di atas undang-undang? Beliau kata hanya cuba melakukan apa yang disyorkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), untuk menjadi mata dan telinga terhadap pengingkar PKP yang membahayakan masyarakat. Lebih teruk lagi, mereka sepatutnya menjadi teladan kepada kita semua.
“Ini menunjukkan betapa korupnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini dari segi moral kerana berbanding memihak kepada rakyat, penyokongnya berpihak kepada ahli politik yang melanggar peraturan secara terang-terangan hanya kerana mereka boleh berbuat demikian.
“Kerajaan ini nampaknya mahu memisahkan diri daripada rakyat.”
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, partinya akan menyediakan perkhidmatan guaman percuma kepada Nini dan individu lain yang menjadi mangsa kerana mengkritik kerajaan PN serta pemimpinnya.
“Nini sangat marah melihat orang masih melanggar SOP dan mengikut nasihat MKN untuk menjadi mata dan telinga mereka.
“Ini satu lagi contoh dwistandard dalam penguatkuasaan sekatan PKP antara VIP dan rakyat marhaen yang disaman kerana tidak mematuhi peraturan.
“Nini harus dipuji atas kesedaran siviknya, bukannya dicerca penyokong MB Kedah,” katanya dalam kenyataan.
Senator Yusmadi Yusoff mengutuk warganet yang melakukan intimidasi dan mengganggu wanita itu serta keluarganya.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap pembuli terbabit.
“Nini hanya menyampaikan maklumat berkepentingan awam untuk penilaian pihak berkuasa bagi tindakan lanjut. Sekiranya perkara tersebut mempunyai elemen kesalahan undang-undang, pihak berwajib perlu ambil tindakan segera. Undang-undang tidak kenal pangkat,” kata peguam dan ketua Pusat Hak Rakyat itu.
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, Nini sepatutnya dipuji kerana mendedahkan tindakan itu, manakala menteri komunikasi dan multimedia harus menyuarakan pendiriannya untuk membendung pembulian siber.
Pada masa sama, katanya, menteri besar itu patut menggesa penyokongnya berhenti menghina dan membuat kenyataan merendah-rendahkan Nini.
“Sepatutnya, MB itu tampil menjelaskan. Dan soalan perlu ditanya: adakah bilik pameran dibenarkan dibuka ketika PKP? Jika tidak, kenapa ia dibuka? Dan adakah MB diberi kuasa untuk memandu uji serta aktiviti lain, seperti yang disaksikan Nini?