Rakyat wajar tuntut perubahan tangani Covid 19
Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani wabak Covid 19 terserlah dengan huru-hara pentadbiran dan kesesakan hospital serta pertambahan jumlah pesakit.
Menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan PN sepanjang menangani pandemik hanya bertelagah sesama sendiri dan tidak menunjukkan jalan keluar yang tepat dan meraih kepercayaan rakyat.
“Menteri bercanggah sesama sendiri. Bertelagah sesama sendiri. Mereka tunjuk hebat ada kuasa. Buka sana tutup sini. Untuk rakyat lockdown, untuk peniaga ada boleh, ada tak boleh.
“Tidak ada keupayaan mentadbir. Pemerintah itu pemerintah khianat. Hilang keabsahan, maka dia bercempera. Mahu kuasa tetapi tidak dapat menyempurnakannya dengan baik. Derita rakyat bertambah.
“Jumlah kematian keningkat, jumlah di Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat. Jumlah positif Covid meningkat. Jumlah saringan pula tidak meningkat. Data yang dikeluarkan kita pertikai. Data analitik saintifik tidak tepat.
“Pokok pangkalnya vaksin. Kamu pesan lambat rakyat menderita, mati lebih ramai. Kata ini takdir, tetapi Allah berikan ikhtiar. Yang bertanggungjawab perlu bertanggungjawab,” katanya dalam Pertusan Khas pagi tadi.
Dalam perutusan sama Anwar mempertikaikan taktik mengalihkan isu oleh pemimpin PN, kononnya kempen vaksinasi terhalang kerana terdapat segolongan rakyat yang anti vaksin.
Bagaimanapun Anwar mengecam alasan itu kerana katanya jumlah yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin telah mencecah 10 juta orang.
“Sibuk kata orang tak mahu daftar. Orang akti vaksin. Berapa yang anti vaksin?
“Golongan ini (anti vaksin) kecil, 10 juta yang dah daftar, berilah vaksin. Turun ke bawah.
“Masa pilihan raya kita boleh kerah setiap pengundi yang terlantar, sakit tenat, OKU semua boleh diangkut. Sekarang tanggungjawab kita nak jaga rakyat, mengapa tidak ada keupayaan. Sibuk nak guna hukuman dera orang, kritik, tangkap. Guna Darurat bukan licinkan pentadbrian.
“Tengok di Selangor katanya sudah sediakan 2.9 juta vaksin. Nasib baik kerajaan Selangor cepat mengulas, yang diterima 600,000, barulah jumlah dibetulkan.
“Ini bukan kali pertama. Dulu kata rakyat dapat vaksin bulan Mac, 75,000 sebulan. Dengan jangkaan sekarang kalau kita ikut unjuran yang ada tak mungkin selesai sampai akhir tahun,” katanya.
Sehubungan itu, Pengerusi Pakatan Harapan itu menyeru rakyat yang prihatin dan sedar agar menuntut perubahan dilakukan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah.
“Rakyat umumnya harus bangkit. Tidak boleh kita tunggu lagi bila kerajaan gagal melakukan pentadbiran dan pengurusan dengan teratur. Rakyat wajib bangkit tuntut perubahan,” katanya lagi.