Oleh B. Suffian
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya lebih berani berbelanja untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menyelamatkan negara dari kancah kemelesetan.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan berkata, suntikan tunai RM5 bilion sahaja langsung tidak memadai apabila PKP 3.0 dijangka mendatangkan kerugian RM2.4 bilion sehari, serupa PKP 1.0 dahulu.
“Setelah meneliti pakej rangsangan ekonomi Pemerkasa Plus berjumlah RM40 bilion yang diumum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PH berasa kecewa apabila mendapati hanya RM5 bilion adalah suntikan tunai baharu.
“Dan (ini) bukannya RM45 bilion suntikan tunai yang diperlukan ekonomi negara untuk mengatasi kesan teruk Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 terhadap ekonomi keseluruhannya.
“Kegagalan seluruh kerajaan untuk membendung wabak Covid-19 telah mengakibatkan rekod tertinggi kes serta kematian akibat Covid-19,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kesan kerugian kepada ekonomi dijangka berjumlah RM60 bilion bagi PKP 3.0 kali ini.
Jelasnya, suntikan terus RM45 bilion ke dalam ekonomi, berbanding RM5 bilion yang dilakukan kerajaan, akan benar-benar membantu mengurangkan kesan kerugian RM60 bilion tersebut.
“Perdana Menteri juga nampaknya meneruskan langkah ekonomi dan kebajikan ortodoks yang sama dengan memberi bantuan one-off.
“Walhal apa yang diperlukan sewaktu kita berada di dalam pandemik global ini adalah siri bantuan kewangan secara berkala untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan, dan ekonomi negara kita,” katanya.
Bantuan kewangan perlu bukan sahaja bagi kelompok B40, tegas Majlis Presiden PH, tetapi juga M40 untuk memastikan mereka tidak akhirnya tergolong ke dalam kelompok B40 nanti.
Oleh itu, tambahnya, PH mengulangi pendirian bahawa suntikan dana RM45 bilion ke dalam ekonomi mesti memberi kesan terus kepada pekerja dan perniagaan.
Baca kenyataan penuh Majlis Presiden PH: https://www.facebook.com/197799207237326/posts/1501311380219429/?d=n