Pelaburan RM 42 bilion di Kedah tidak wujud?
Mukhriz Mahathir
Saya mohon pengesahan dari Malaysian Investment Development Authority – MIDA Invest Kedah dan Kerajaan Kedah mengenai jumlah pelaburan asing (FDI) yang dilaporkan bernilai RM42.23 bilion dari syarikat pengeluar panel solar China bernama Risen Energy melalui anak syarikatnya Risen Solar Technology Sdn Bhd di Taman Teknologi Tinggi Kulim.
Perkara ini telah dilaporkan secara meluas oleh media tempatan khususnya kerana buat pertama kalinya Kedah kononnya mendapat pelaburan sebegitu besar hingga jauh meninggalkan negeri-negeri lain seperti Selangor, Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur.
Kejayaan Kedah ini juga dikatakan sebagai bukti bahawa Malaysia masih menjadi destinasi yang diminati pelabur asing, manakala Kedah pula muncul sebagai negeri yang paling menarik bagi mereka. Ini dikatakan kejayaan Kerajaan Perikatan Nasional.
Namun yang menimbul keraguan ialah kenyataan dari Risen Energy seperti yang dilaporkan oleh majalah industri photo-voltaic PV Magazine bertarikh 21hb Julai, 2020 yang antara lain jelas menyatakan bahawa syarikat itu berhasrat untuk melaburkan RMB2.2 bilion (matawang Yuan China atau Renminbi 2.2 bilion bersamaan lebih kurang RM1.41 bilion) untuk meningkatkan kemampuan mengeluarkan sel dan modul sebanyak 3 GW di kilangnya di Malaysia. Tentunya RMB2.2 bilion tidak bersamaan dengan RM42.23 bilion.
Sebagai syarikat teknologi tinggi yang tersenarai di Bursa Saham Shenzhen, sebarang keputusan pelaburan yang besar perlu diumumkan di media tempatan China. Setakat ini tiada pengumuman dibuat oleh Risen mengenai pelaburan bernilai lebih kurang RMB65.85 bilion (iaitu RM42.23 bilion menurut pertukaran hari ini) di Malaysia.
Saya mohon penjelasan bagi mengelak dari kesilapan (secara tidak sengaja atau sengaja) pihak yang begitu bermegah dengan pengumuman pelaburan besar di Kedah itu. Kalau betul ada pelaburan sebesar itu di Kedah, alhamdulillah. Saya turut tumpang seronok untuk Kedah.
Sebenarnya pelaburan itu tidak wujud, kedua-dua Kerajaan PAS/PN/BN Kedah dan Persekutuan wajib berkata benar. Jangan nanti Rakyat tertipu lagi dengan angka-angka besar yang sebenarnya tidak betul dan dikeluarkan semata-mata untuk mengaburi mata Rakyat yang kini sangat tertekan akibat kegagalan Kerajaan menangani pandemik COVID ini.