Kerajaan PN Kedah kata mereka sehebat Singapura
Kedah memperoleh pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dalam sektor pembuatan berjumlah RM42.4 bilion daripada RM58.8 bilion diterima negara bagi suku pertama (Q1) 2021.
Pertumbuhan memberangsangkan dan menjadi petunjuk prestasi ini dicapai ketika usia kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor baharu berusia setahun pada 17 Mei lalu.
Malah, rekod positif yang dipacu luar biasa dan mencatat sejarah baharu bagi Kedah ini berlaku ketika mana dunia masih berdepan cabaran pandemik COVID-19 di mana telah memperlahankan ekonomi.
Angka tersebut bahkan jauh mengatasi jumlah FDI diterima negeri lain iaitu Sabah (RM4.3 bilion), Selangor (RM4.0 bilion), Melaka (RM3.4 bilion) dan Johor (RM1.7 bilion) bagi tempoh sama.
Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ini telah dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato ‘Seri Mohamed Azmin Ali kepada Kabinet, semalam.
Ia mengesahkan secara rasmi pelaburan besar diterima negeri ini sekali gus menyangkal pihak-pihak yang menolak laporan berita mengenai angka-angka diperolehi dalam tempoh singkat tersebut.
Sebelum ini, terdapat pihak dalam kalangan pro-pembangkang yang memperkecilkan laporan pelaburan diterima negeri ini dengan memperlekehkannya sebagai dakwaan dan pengumuman kosong semata-mata.
Bagaimanapun kesungguhan dan keterbukaan kerajaan kepimpinan Muhammad Sanusi dilihat telah menjadikan Kedah destinasi utama dan pintu masuk strategik bagi para pelabur ke negara ini.
“Kedah ini negeri miskin, KDNK-nya masih tercorot di kalangan negeri-negeri di Utara Semenanjung. Tapi Kedah ada sumber yang banyak. Kedah ada bumi yang luas. Kedah ada hutan, Kedah ada alam sekitar, Kedah ada sumber tenaga. Kedah ada banyak kawasan industri.
“Semua faktor-faktor yang boleh dibangunkan dimajukan untuk memberi pulangan kepada Kedah patut dilaksanakan dengan pantas. Siapa nak melabur di Kedah, ada modal, ada duit, mai (sila datang). Kita tak ada (urusan) di bawah meja (rasuah). Tak ada ‘henky penky’, tak ada.
“Bawa RM100 juta, mai melabur RM100 juta. Tang (Di) mana nak buat projek? Kita buat kajian, boleh jalan (diluluskan), jalan dengan pantas. Jangan duduk ding dong ding dong, last-last tak jadi, saya tak mahu,” kata Sanusi menggambarkan tawarannya.
Beliau turut menyerlahkan semangat dan keyakinan betapa Kedah mampu berada setara dengan negeri-negeri di Lembah Klang dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang menerusi pendekatan ambil kini.
Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah berada di tangga kedua bawah dari semua negeri, kata sedemikian boleh dipertikaikan dari aspek kemampuan untuk mencapainya dan dianggap ‘cakap besar’.
Namun terbukti kerja kuat yang dilakukan apabila berjaya menambah jumlah pelaburan sedia ada dan merealisasikan projek berimpak tinggi telah dirancang, selain menarik beberapa pelaburan baharu.
“Kita tengok perancangan yang lama itu ada projek-projek berimpak tinggi yang boleh menjana pendapatan baru kepada kerajaan Kedah. Kita teruskan, kita tak ada dendam politik nak ‘stop’ projek orang, tak ada. Benda-benda ini tak patut diamalkan oleh mana-mana rejim pun.
“Kalau benda baik patut diteruskan. Jangan diambil kira sangat perbezaan parti politik itu. Kerana ia merugikan sumber. Kita dah habis banyak sumber untuk capai ke tahap itu, kerajaan berikutnya patut teruskan kalau itu didapati mendatangkan kebaikan. Ini yang sedang kita buat,” ujarnya menyerlah wawasan.
Misalnya yang baharu dan akan berada dalam Laporan MIDA bagi suku kedua nanti antaranya projek pembangunan di Langkawi iaitu Widad @Langkasuka di mana membawa pelaburan besar RM40 bilion.
Juga pelaburan RM1.3 bilion Litar Super Car Open Road Asia di Bukit Malut, selain RM7 bilion dari HartaLega bagi industri pembuatan sarung tangan getah di Northern Gateway di Bukit Kayu Hitam.
Terdahulu, beliau dalam tempoh tiga bulan pentadbirannya memuktamadkan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang rupanya sejak tahun 2013 hanya berada sebagai kertas projek.
Hasil usaha itu merangsang pelaburan bernilai RM18 bilion disertai komponen lain antaranya Hab Logistik, Aeroangkasa dan Pembuatan Sidam (SLAM) dan sebuah taman semi-konduktor serta Lebuh Raya Koridor Utara (NCH).
Juga kejayaan membuka fasa kelima Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) seluas 450 ekar lagi dengan sebahagiannya sudah ditempah, serta pertambahan pelaburan RM2.2 bilion diterima Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap.
Menurut Sanusi, KRC yang dibangunkan bersama Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) itu akan mempunyai pelaburan terkumpul RM10 bilion dan 15,000 peluang pekerjaan apabila projek itu siap sepenuhnya pada 2030.
Malah, ada syarikat pernah berminat untuk melakukan pelaburan dalam industri kenderaan teknologi hijau dan peralatan pertahanan bernilai RM1.5 bilion ditingkatkan dari telah sedia ada di Gurun.
Semua ini juga tidak termasuk pengumuman terkini diterima Kedah dari Kementerian Pengangkutan yang mengisytiharkan pewartaan Yan sebagai Pelabuhan Persekutuan di mana tentunya bakal membawa lagi pelaburan besar.
Semua ini yakini Sanusi, akan menjadi ‘catalyst’ ataupun pemangkin kepada kemajuan ataupun kebangkitan negeri Kedah Darul Aman sebagai sebuah negeri yang kuat dari segi ekonomi.
Ketua Eksekutif NCIA, Dato’ Seri Ir Jebasingam Issace John turut optimis Kedah akan mencapai peningkatan 30 peratus KDNK berjumlah RM62 bilion menjelang tahun 2027 dan terus berkembang pesat seiring ekonomi negara.
Dato’ Seri Azmin dalam pengumumannya turut membentangkan bahawa Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan bernilai RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer pada Q1 2021 itu.
Jelas beliau, ia melonjakan 95.6 peratus dari tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM41.2 bilion di mana strategi agresif berterusan untuk menarik pelaburan peringkat tinggi dari pelabur asing dan domestik telah menunjukkan hasil.
Pelaburan yang diluluskan ini katanya, melibatkan 993 projek dan dijangka menghasilkan 32,557 peluang pekerjaan, sekali gus Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan kompetitif bagi pelabur asing walaupun terdapat banyak halangan di peringkat global.
Jumlah FDI diluluskan dalam sektor tersebut meningkat 383.4 peratus kepada RM54.9 bilion untuk tempoh itu daripada RM11.4 bilion pada suku yang sama tahun lalu.
Secara bandingan dicatat negara lain Singapura (RM43.1 bilion), Belanda (RM5.0 bilion), Korea (RM4.3 bilion), Taipei (RM0.5 bilion) dan Hong Kong (RM0.3 bilion) dari lima negara teratas pelaporan FDI.