Nazri: Kerana isu ‘sokong’ Anwar, 25 Ahli Parlimen BN tak mahu Zahid jadi wakil bertemu Agong

 

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Aziz mendakwa 25 Ahli Parlimen BN daripada 41 orang tidak yakin dengan ketelusan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebagai wakil mereka untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana mereka kecewa dengan tindakan Zahid yang dikatakan mengemukakan surat sokongan Ahli Parlimen Umno kepada Anwar sebagai perdana menteri baharu sewaktu menghadap Agong pada September 2020, katanya lapor Sinar Harian.

Menurut Nazri, mereka menandatangani surat akuan (SD) yang memberi mandat kepada seorang pemimpin Umno lain untuk menjadi jurucakap sekiranya dipanggil menghadap Agong.

Pemimpin Umno lain yang dimaksudkan itu adalah Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein.

“Saya boleh sahkan perkara itu kerana saya sendiri yang mengusahakannya sejak dua minggu lalu setelah kita dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti sekali lagi ke Istana Negara bermula 9 Jun lalu,” kata Nazri.

Nazri berkata, tindakan Zahid sebelum ini menimbulkan curiga mereka dan khuatir beliau (Zahid) akan mengulanginya.

“Berikutan itu kami bersetuju memberi mandat kepada Hishammuddin untuk menjadi jurucakap Ahli Parlimen BN bagi memberi penegasan sebenar bahawa kami tidak pernah dan tidak akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri,” tambahnya.

Nazri menafikan SD itu bertujuan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atau menukar kerajaan.

Menurutnya, SD itu sudah diserahkan kepada Hishammuddin, namun tidak pasti sama ada menteri luar negeri itu telah menyerahkannya (kepada Agong).

Nazri membuat pendedahan ini ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, yang mengakui ada usaha mengumpul SD dalam kalangan Ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan untuk mengambil alih kerajaan.