Moratorium bersasar indah khabar dari rupa – Ahmad Zahid

 

By

 Shawaliah Hadir

 -

 22 June 2021



Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Permohonan moratorium automatik bersasar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diibarat memohon jawatan pengarah berikutan syarat dan temuduga yang dikenakan tidak semudah yang dihebahkan 

 Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkongsi luahan yang disuarakan kepadanya menerusi dua kisah kesukaran memohon moratorium berkata, bantuan itu ternyata ‘indah khabar dari rupa’.

 Pada hakikatnya ia mempunyai syarat dan birokrasi yang menyukarkan rakyat, ujarnya.

“Baki gaji berapa? Berapa guna untuk belanja? dan akhirnya bank maklumkan baki gaji cukup untuk bayar ansuran kereta.

“Memanglah cukup (bayar ansuran kereta), tetapi mana cukup tampung seisi keluarga pada waktu pendapatan isi rumah sedang terjejas. Dan bank terus kategorikan sebagai golongan M40 (tidak layak dapat moratorium automatik),” katanya menerusi laman Facebook, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, bank turut mengenakan beberapa syarat untuk peniaga kecil yang mahu mendapat moratorium selain mereka perlu menunjukkan bukti pendapatan hilang akibat PKP.

Namun, syarat yang menyukarkan peniaga kecil adalah apabila tiada bukti selain penyata bank dan rekod-rekod dalaman perniagaan.

“Bank kenakan beberapa syarat untuk peniaga kecil yang mahu dapat moratorium. Perlu tunjuk bukti hilang pendapatan semasa buat permohonan moratorium.

“Masalahnya peniaga kecil tiada bukti selain penyata bank dan rekod rekod dalaman perniagaan. Ramai peniaga kecil tidak ada slip gaji, penyata KWSP atau surat dibuang kerja. Ada pula peminjam yang dapat moratorium wajib bayar faedah setiap bulan,” katanya.

Sebaliknya, menurut beliau, kerajaan sepatutnya menbantu rakyat dengan sepenuh hati dengan cara memudahkan permohonan mereka dan mengurangkan birokrasi.-