Mana bantuan untuk M40 hadapi PKP, Najib soal Putrajaya
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menempelak Putrajaya kerana dikatakan tidak menyediakan bantuan kewangan yang diperlukan kumpulan pertengahan M40 untuk megharungi sekatan pergerakan kali ini.
Dalam catatan di Facebook, Najib berkata mereka yang memperoleh pendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959 sebulan tidak akan menerima sebarang bantuan di bawah pakej Pemerkasa Plus ketika ‘lockdown’ yang bermula hari ini.
Ini termasuk tiada moratorium pinjaman, diskaun elektrik, perkhidmatan Astro percuma atau bantuan tunai.
Najib turut berkata tiada lagi kemudahan i-Sinar atau i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Apa bentuk bantuan akan diberikan kepada kumpulan M40 kali ini?” soalnya.
Beliau juga menyindir bahawa seluruh negara menjalani ‘lockdown’ kecuali 95,142 syarikat yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu yang berakhir 14 Jun ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan pakej bantuan Pemerkasa Plus berjumlah RM40 bilion untuk membantu rakyat dan perniagaan melalui ‘lockdown’ ini.
Ia termasuk suntikan fiskal kerajaan berjumlah RM5 bilion, selain moratorium automatik selama tiga bulan untuk B40 yang kehilangan pekerjaan serta PKS yang tidak dibenar beroperasi sepanjang tempoh itu.
Ramai beranggapan bantuan itu tidak memadai untuk membela pelbagai golongan yang terkesan, termasuk M40.