PETALING JAYA: Pakatan Harapan dijangka mempunyai kekuatan untuk memudahkan pembentukan kerajaan pada PRU15, berdasarkan bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi calon sebenar tiga parti komponen gabungan itu pada pilihan raya lalu.
Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail, dalam wawancaranya dengan Utusan Malaysia hari ini berkata ada dua blok terbesar dalam lanskap politik semasa iaitu PH dan seterunya, Barisan Nasional.
Beberapa watak dalam BN dan PH mutakhir ini didakwa sedang merundingkan suatu kerjasama politik – dakwaan yang dinafikan oleh kedua-dua pihak.
Dalam wawancara Utusan, Saifuddin bercakap mengenai konsep “khemah besar” yang dipersetujui dalam pemukiman PH sebelum Ramadan.
Konsep itu, katanya, menerima hakikat bahawa PH semata-mata berpeluang untuk mengambil alih kerajaan pada PRU15 nanti, namun sedia “menampung elemen di luar” gabungan itu.
“Kedudukan kerusi Parlimen PH yang menang PRU14 (sebelum kes lompat parti), DAP ada 42 kerusi dan Amanah (11). PKR itu asalnya kita menang 48 kerusi tetapi dengan kemasukan Ahli Parlimen Bebas kita ada 50 kerusi.
“Jika kita tidak kira yang masuk kemudian, 48 campur 42, itu sudah 90, campur Amanah sebanyak 11 kerusi itu sudah 101. Ini bermaksud kita hanya kekurangan 11 kerusi untuk mendapat majoriti mudah 112 kerusi,” katanya.
Pada PRU14, Umno dan BN, masih dominan dengan 79 kerusi meskipun tumbang sebagai kerajaan.
“Satu lagi blok terbesar di luar PH ialah Umno dan BN,” kata Saifuddin.
“Jika berlaku keadaan di mana tiada mana-mana gabungan yang mendapat majoriti, resolusi ‘khemah besar’ PH itu menjadi sangat relevan. Kita bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak di luar daripada kerangka PH.”
Pada PRU14, Bersatu dengan pengerusinya ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, menyumbang 13 kerusi kepada PH.
PAS mempunyai 18 kerusi, Gabungan Parti Sarawak 18 kerusi, manakala Warisan 8 kerusi.
Dalam penjelasannya mengenai konsep “khemah besar”, Saifuddin berkata pihak luar yang dimaksudkan bukan sahaja parti tetapi juga individu dan persatuan.
Setakat ini, katanya, “kita belum lagi membuka jalan perundingan secara rasmi.”
“Sudah tentu ketetapan ini datang dengan beberapa prasyarat,” tambahnya.
Prasyarat itu adalah menerima agenda reformasi; menerima perkara yang disepakati dalam Perlembagaan yang menyentuh kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan hak Bumiputera Sabah dan Sarawak; Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa lain bebas dipelajari dan dipertuturkan; dan prinsip tata kelola atau praktis tadbir urus baik dalam kerajaan.
Mengenai Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri ke-9, Saifuddin berkata presiden PKR itu merupakan pilihan PH, namun memberi gambaran gabungan itu terbuka kepada apa-apa cadangan rakan luar yang bakal bersama PH dalam “khemah besar” yang disebut itu.
“Jika PH diberi kepercayaan oleh rakyat untuk kembali menjadi kerajaan, maka Anwar kekal sebagai calon Perdana Menteri dari PH.
“Dalam konteks pendekatan khemah besar, itu akan tetap kita sampaikan sebagai keputusan ataupun pendirian PH. Itu (keputusan akhir) sangat bergantung kepada dinamik perbincangan,” katanya.
Saifuddin menyifatkan pandangan Mahathir bahawa tidak mungkin akan ada kerjasama antara Umno dan PH sekiranya Anwar jadi calon perdana menteri sebagai tidak relevan.