MAHATHIR DAN MUSLIHAT DI SEBALIK CADANGAN KERAJAAN ALA MAGERAN

 

Saya ingin mulakan tulisan kali ini dengan ketawa berdekah-dekah terlebih dahulu – kahkahkahkahkahkah…

Saya ketawa kerana Tun Mahathir Mohamad akhirnya mengakui beliau telah mencadangkan penubuhan kerajaan ala Mageran dalam pertemuannya dengan Yang Dipertuan Agong, petang tadi.

Alasannya ialah oleh kerana Mageran telah berjaya mengatasi krisis politik dan ekonomi pada 1969 dahulu, beliau yakin kerajaan ala Mageran juga mampu mengatasi masalah yang dihadapi negara ketika ini.

Dengan penubuhan kerajaan ala Mageran, bermakna ia lebih ketat daripada darurat yang ada sekarang dan memungkinkan Parlimen terus digantung untuk tempoh yang lebih lama, tidak mustahil selama dua tahun atau sehingga tahun 2023.

Ertinya, cadangan Tun Mahathir ini betul-betul mengarut kerana jelas berlawanan dengan keinginan rakyat yang mahu darurat segera ditamatkan dan Parlimen dibenar bersidang semula seperti biasa.

Penubuhan kerajaan ala Mageran ini dengan sendirinya juga bermakna Tun Mahathir menolak pembentukan kerajaan baharu menggantikan PN yang mungkin diketuai oleh Anwar Ibrahim yang melibatkan PH, BN dan lain-lainnya.

Lebih mudah untuk difahami ialah idea kerajaan ala Mageran itu, tujuan besarnya, tidak lain hanyalah untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Nampaknya dengan perlembangan terbaru ini Tun Mahathir akan terus hidup bersama dendam kesumatnya terhadap Anwar sehingga ke hujung nyawanya.

Saya seterusnya ketawa lebih kuat lagi kerana Tun Mahathir juga mengakui beliau telah menawarkan dirinya untuk mengetuai kerajaan ala Mageran yang dicadangkannya itu

Kahlahkahkahkahkahkah…ini sudah betul-betul masuk bakul angkat sendiri namanya.

Oleh kerana Tun Mahathir menyatakan Mageran telah berjaya mengatasi krisis politik dan ekonomi pada 1969 dahulu, bermakna kali ini beliau percaya hanya dirinya saja yang boleh menyelesaikan semua masalah dalam negara ini melalui kerajaan ala Mageran.

Ehhh…ini nak menyelesaikan masalah negara atau untuk menghalang kemaraan Anwar?

Semakin ternampak jelas, umpama bersuluh di siang hari tujuan Tun Mahathir mencadangkan penubuhan kerajaan ala Mageran dan seterusnya mahu dirinya mengetuai kerajaan tersebut.

Jadi Perdana Menteri 22 bulan selama ini pun kacau bilau dan huru-hara PH serta negara dibuatnya, bayangkan jika orang yang ada niat jahat terselindung ini diberi kuasa sekali lagi mengetuai negara ini melalui kerajaan baharu ala Mageran dan tanpa Parlimen bersidang?

Masalah negara belum tentu selesai, agenda dendam peribadinya saja yang sudahnya berjaya dipenuhinya.

Yang ternampak jelas juga di sini, walaupun tiada parti dan bilangan Ahli Parlimen yang bersamanya kurang daripada jumlah jari jangan, kemaruk Tun Mahathir untuk berkuasa semula dan menghalang Anwar tidak pernah padam.

Kali ini, melalui cadangan kerajaan ala Mageran dan dalam keadaan dirinya tiada parti dan tiada jawatan dalam kerajaan, ia sebenarnya jauh lebih buruk dan lebih teruk daripada menubuh kerajaan dengan cara menebuk atap atau melalui pintu belakang.

Bagaimanapun, dalam pertemuan dengan Agong itu, baginda bertitah bahawa pembentukan kerajaan ala Mageran harus datang daripada kerajaan sendiri.

Dalam erti kata lain, kerajaan ala Mageran hanya mungkin menjadi kenyataan jika Mahiaddin sendiri yang mencadangkannya.

Tak tahulah jika niat lain Tun Mahathir mencadangkan kerajaan baharu ala Mageran itu ialah supaya Mahiaddin menjadikannya kenyataan di mana Perdana Menteri sendiri yang akan mengetuainya.

Maknanya, secara terselindung Tun Mahathir mahu Mahiaddin terus kekal mengetuai negara ini, kali ini melalui kerajaan ala Mageran yang akan disokongnya dan dalam masa yang sama niat menghalang lagi kemaraan Anwar turut terlaksana sama.

Menoleh ke belakang sejenak, bayangkan apa jadi jika Anwar setuju dengan perjanjian menjadikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri hanya selama enam bulan saja selepas beliau meletakkan jawatannya pada tahun lalu? 

(ShahbudinHusin 10/06/2021)