Apa masalah kita di negara ini sekarang?
Jika boleh dihurai-pendekkan, antara masalah pokok negara kita sekarang ialah kegagalan PN sebagai kerajaan dan ketidakmampuan Mahiaddin Md Yasin selaku Perdana Menteri dalam mengurus negara, memerangi penularan Covid19, membina ekonomi, mengawal dan memberi keyakinan serta kesejahteraan kepada rakyat.
Asasnya, selain Mahiaddin itu sendiri tiada kemampuan dan tidak berkeupayaan mentadbir negara, kerajaan PN yang dibinanya pula bukanlah kerajaan yang diundi atau dipilih rakyat untuk menjadi kerajaan.
Dengan yang demikian, rakyat sama sekali tidak mengiktiraf serta sukar menerima kepimpinannya.
Lebih buruk lagi, Mahiaddin turut memiliki ego yang tinggi, tidak ramah, tidak mesra serta mempunyai gaya komunukasi yang lemah dengan rakyat sehingga merasakan, oleh kerana beliau adalah Perdana Menteri, muncul melalui perutusan khas semata-mata sudah memadai.
Bellau nampaknya gagal menyedari, sebagai Perdana Menteri, apalagi ketika krisis Covid19 melanda ketika ini, beliau adalah umpama jenderal perang yang perlu selalu tampil secara terbuk dengan penuh keyakinan dan kewibawaan bagi memberi harapan, keyakinan dan semangat kepada rakyat.
Tetapi, dengan asyik muncul dalam perutusan khas dan tiada soal jawab dengan wartawan, bagaimana wibawa seorang jenderal perang boleh dinilai?
Kerajaan PN dan kedudukan Mahiaddin menjadi bertambah buruk lagi berikutan terdesaknya beliau mahu melindungi jawatannya lalu mencadangkan darurat yang bersekali dengannya Parlimen turut digantung sama.
Oleh kerana titah Agong yang membenarkan Parlimen dibuka pun tidak dipedulikan, maka tanggapan umum beliau adalah seorang yang penakut dan tambah mengukuhkan lagi kepercayaan bahawa darurat itu memang semata-mata untuk melindungi jawatannya saja.
Secara umumnya, rakyat hanya mahu sebuah kerajaan yang berjaya dan Perdana Menteri yang berwibawa serta berani untuk mentadbir negara ini, bukan kerajaan gagal serta ketua yang penakut.
Malangnya, semua ciri-ciri berjaya itu tiada pada PN dan Mahiaddin.
Jika Mahiaddin seorang yang berjiwa besar dan mengutamakan negara, tambah lagi kegagalannya sudah merebak dan diperkatakan di seluruh dunia, langkah awalnya sebelum ini ialah berundur dan meletakkan jawatan.
Cuba terus mempertahankan jawatan di ketika rakyat kian menolak dan mempertikaikannya, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Tidak guna kerajaan atau Perdana Menteri bermusuh dengan rakyat, tidak pernah pun, kalau tidak sekarang, lambat laun pemimpin yang bermusuh dengan rakyat, pasti akan kecuncang juga akhirnya.
Dalam hal ini, jika kerajaan dan Perdana Menteri yang gagal tidak diterima rakyat dan pelaksanaan darurat juga tidak diterima, malah memburukkan lagi nasib PN, sudah tentulah mencadangkan pemerintahan ala Mageran jauh lebih tidak diterima lagi.
Mencadangkan kerajaan ala Mageran adalah langkah ke belakang dalam menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi negara ketika ini.
Kalau darurat boleh menyebabkan Parlimen digantung, kerajaan ala Mageran lebih memungkinkan Parlimen digantung bagi tempoh yang lebih lama lagi.
Maknanya, kalau kerajaan darurat dilihat sebagai kerajaan penakut kerana menggantung Parlimen, orang yang mencadangkan kerajaan ala Mageran yang memungkinkan Parlimen digantung lebih lama serta mencadangkan pula dirinya sebagai ketua, tentulah jauh lebih penakut lagi sifatnya.
Dalam menangani kemelut atau krisis sekarang ini sehingga Agong sendiri terpaksa mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti bagi meminta pandangan, ini adalah gambaran yang tidak boleh disangkal lagi bahawa PN dan Mahiaddin telah gagal secara total.
Penyelesaian yang terbaik tidak lain ialah Agong mesti melantik kerajaan dan Perdana Menteri baharu yang memiliki ciri-ciri antaranya – berani membuka Parlimen, ada wibawa sebagai jenderal perang yang berani sepenuh masa, tidak takut bersemuka dengan media dan sesiapa saja demi memberi keyakinan kepada rakyat serta sentiasa ada stamina dan idea ke arah pembaharuan.
Untuk itu, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa PH dengan disokong oleh BN adalah gandingan terbaik untuk mengendali dan memulihkan negara, sekurang-kurangnya buat sementara sehingga PRU15 perlu diadakan sebagai jalan penyelesaian mutlak untuk memilih kerajaan apabila Covid19 sudah reda nanti.
Lagi pun oleh kerana memang PH yang diundi rakyat pada PRU14 lalu untuk menjadi kerajaan, cuma oleh kerana berlaku sedikit perpecahan akibat kerakusan, ketamakan dan pengkhianatan, mengembalikan semula hak tersebut sambil bergabung dengan BN bagi tujuan mengukuhkan kestabilan, ia adalah suatu langkah ke arah kebaikan untuk negara.
Yang penting, gabungan PH dan BN yang disokong dengan majoriti keyakinan tersebut, itulah cerminan kestabilan yang merupakan resipi utama ke arah kejayaan bagi memulihkan kegagalan yang ditinggalkan PN.
(ShahbudinHusin 11/06/2021)