Fareez Azman
Jun 16, 2021
Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini berpandangan bahawa Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri pada Selasa hanya siri fasa tanpa strategi yang lengkap. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini berpandangan bahawa Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri pada Selasa hanya siri fasa tanpa strategi yang komprehensif.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media bersama Majlis Presiden PH pada Rabu.
Jelas kenyataan itu, pengumuman Perdana Menteri itu disifatkan tidak merangkumi bantuan secukupnya kepada rakyat dan pihak yang terjejas.
"Walau bagaimanapun, kami terkejut apabila mendapati bahawa ianya hanyalah siri fasa tanpa strategi yang lengkap mahu pun langkah-langkah yang jelas, bersepadu dan menyeluruh untuk mengatasi pandemik COVID-19 dan memberi bantuan secukupnya kepada rakyat serta syarikat-syarikat yang sedang menderita, memulihkan ekonomi, dan menyegerakan kebangkitan semula Malaysia," katanya.
Ia bagaikan satu ‘pelan mengaku kalah’ pada pandemik COVID-19," menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, data yang dimaksudnya dalam siri fasa pelan tersebut yang dipercayai berasaskan sains dan data yang 'tidak telus'.
"Malah, lebih mengejutkan ialah siri fasa ‘pelan’ tersebut kononnya berasaskan sains dan data, namun realitinya data yang dimaksudkan tidak telus, tidak terbuka dan tidak terperinci untuk diteliti orang ramai, dan mudah termanipulasi seperti yang pernah kita saksikan sebelum ini," jelas kenyataan itu.
Justeru, Majlis Presiden PH berpandangan pelan yang dipersembahkan oleh Muhyiddin adalah satu 'pelan' tanpa apa-apa pelan yang sebenar.
[TERKINI] Perutusan Khas Perdana Menteri: Pelan Pemulihan Negara
"Ini adalah satu pengumuman tergesa-gesa yang cuba mengalih pandangan Rakyat dari keadaan kepimpinan yang terumbang-ambing, hilang arah, dan gagal berkali-kali untuk mengawal pandemik ini dengan baik.
"Jika diikut juga ‘pelan’ ini, akhirnya yang akan dipersalah dan menjadi mangsa sekiranya pandemik tidak dapat dikawal adalah Rakyat," jelas kenyataan itu lagi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa mengumumkan Pelan Pemulihan Negara dengan menggariskan empat fasa melibatkan Pelan Peralihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Jelas Muhyiddin, setiap fasa Pelan Pemulihan Negara ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun 'threshold' untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.