Didakwa seret kucing atas jalan, lelaki mengaku tidak bersalah
Abd Razak Mohd Ali
Jun 13, 2021
Tertuduh didakwa secara tidak munasabah menyebabkan penderitaan yang tidak perlu kepada seekor kucing dengan menyeretnya di atas jalan. -Astro AWANI
TELUK INTAN: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Isnin atas tuduhan menyeret seekor kucing di atas jalan di Langkap, Perak, 3 Jun lalu.
Tertuduh, Azizul Salahuddin, 46, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara tidak munasabah menyebabkan penderitaan yang tidak perlu kepada seekor kucing dengan menyeretnya di atas jalan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Attaduri, Langkap pada jam 6.30 petang, 3 Jun lalu.
Dia dituduh di bawah Seksyen 21(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S. Kumaresan.