Golongan M40 setengah juta jadi B40, kerajaan perlu bantu segera
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa hampir sebulan telah menyebabkan kesempitan hidup yang semakin parah dalam kalangan rakyat.
Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, kemerosotan kualiti hidup dapat digambarkan dalam laporan Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC) baru-baru ini, menyatakan lebih 600,000 isi rumah dari golongan berpendapatan pertengahan atau M40 telah tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40.
“Menerusi dialog Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula kita didedahkan data yang menunjukkan situasi ekonomi rakyat amat meruncing.
“Antaranya 200,000 orang hampir kosong simpanan mereka di KWSP, 6.24 juta ahli di bawah 55 tahun hanya ada kurang dari RM10,000 dalam Akaun 1, serta berdasarkan Purata Simpanan Kebangsaan Rakyat Malaysia, tanpa KWSP, purata rakyat Malaysia yang mempunyai tabungan adalah negatif 0.5%.
“Dalam masa sama, kerajaan hari ini masih gagal untuk mendapatkan bekalan vaksin mencukupi. Menurut kenyataan dari Perdana Menteri, kerajaan gagal untuk memberi 400,000 dos vaksin sehari akibat dari kegagalan pihak pembekal membekalkan vaksin mengikut kehendak negara.
“Kenyataan ini menzahirkan usaha melawan Covid-19 menerusi sasaran mencapai imuniti kelompok akan berlarutan untuk satu tempoh yang lama dan sudah pasti sekatan seperti PKP mungkin akan turut berpanjangan dan memberi gambaran Pelan Pemulihan Negara bakal berlanjutan,” katanya dalam satu kenyataan.
Oleh kerana pandemik tidak akan berakhir dalam jangka masa pendek, malah pembinaan semula ekonomi negara memakan masa lebih lama, pemimpin ABIM itu menyarankan agar kerajaan merangka satu pelan komprehensif untuk meminimumkan kesengsaraan hidup rakyat
“Pertama, ABIM menggesa kerajaan bertanggungjawab terhadap kesan langsung dari PKP. Satu pakej bantuan besar-besaran harus ditunaikan kepada rakyat meliputi B40 serta M40 yang juga berada dalam kedudukan bakal tergelincir ke golongan B40 pada bila-bila masa. Ini termasuk moratorium pinjaman automatik yang harus dilaksanakan sama seperti PKP 1.0.
“Kedua, pihak kerajaan harus mencari alternatif atas kegagalan yang berlaku termasuk kegagalan mendapat bekalan vaksin yang mencukupi untuk memastikan kesengsaraan hidup rakyat tidak terlalu berpanjangan. Menyalahkan satu pihak lain tanpa kemukakan alternatif tidak akan sama sekali membantu rakyat mengakhiri keperitan hidup
“Apatah lagi kerajaan telah mengumumkan peruntukan program vaksinisasi sejumlah RM 5 bilion meliputi setiap aspek perlaksanaannya termasuk pembelian vaksin pada 17 Mac 2021, sepertimana yang diumumkan Kementerian Kewangan. Maka, rakyat berhak mengetahui sebanyak mana jumlah itu telah memberi nilai kepada keselamatan dan kesejahteraan mereka,” katanya lagi.
Selain itu, ABIM juga menyarankan kerajaan mengkaji semula perancangan yang dibentangkan dengan penglibatan bersama semua pihak memandangkan situasi semasa, terutama jumlah angka kes Covid-19 masih mencanak dikhuatiri akan gagal menemukan hasil dari perancangan yang dikemukakan sebelum ini.
Hal itu, kata Faisal, termasuklah kajian semula terhadap SOP yang tidak jelas dalam aspek penguatkuasaan PKP 3.0