Kalau ikutkan suara-suara rakyat yang kedengaran di media sosial dan di merata-mata tempat yang lain, hanya satu kesimpulan tentang harapan mereka terhadap Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang akan berlangsung pada 2.30 petang hari ini di Istana Negara.
Harapan dan keinginan itu tidak lain agar tiada lagi Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri dan tiada juga PN sebagai kerajaan selepas ini.
Sejak 15 bulan yang telah berlalu, PN dan Mahiaddin dianggap hanya “menghabiskan beras” semata-mata selama ini.
Dengan kegagalan yang bertompok-tompok dan semakin menghitam hari demi hari, kerajaan dan Perdana Menteri yang gagal ini dirasakan sudah tidak diperlukan lagi ada di negara ini.
Apatah lagi, dengan Agong sendiri mengambil inisiatif memanggil menghadap ketua-ketua parti bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan situasi semasa tentang keadaan negara, tanpa keraguan ia adalah pengesahan paling muktamad tentang kegagalan PN dan Mahiddin itu.
Maka itu, mengenepkan PN serta Mahiaddin dan mengambil gabungan lain beserta pemimpin baharu sebagai kerajaan dan Perdana Menteri adalah keinginan, harapan dan jalan keluar yang paling dinanti-nantikan.
Hanya kerajaan dan Perdana Menteri baharu yang diyakini mampu menyelesaikan pelbagai masalah dan kekalutan dalam negara ini, sekaligus membawa keluar negara daripada segala kecelaruan dan bergerak ke hadapan, manakala mengekalkan lagi PN dan Mahiaddin tidak ubah seperti menambah-panjangkan lagi sengsara dan derita yang akan ditanggung rakyat.
Begitu pun, dengan memahami kebarangkalian bahawa Agong dan Raja-Raja sendiri mungkin terikat dengan peraturan dan perkara-perkara tertentu dalam Perlembagaan, selain tidak dinafikan pihak Istana boleh jadi mempunyai kebijaksanaan dan pertimbangan yang lain, mengharapkan perubahan secara drastik menukar kerajaan dan Perdana Menteri tentu saja dilihat agak keterlaluan.
Tetapi realitinya, itulah harapan dan keinginan rakyat di mana dengan kegagalan kerajaan selama ini, tiada apa-apa lagi dirasakan mampu memperbaiki keadaan, melainkan dengan merubah kerajaan dan kepimpinannya.
Sebagai harapan paling sederhana, kiranya menukar kerajaan dan Perdana Menteri bukan merupakan pilihan yang bakal diambil oleh Majlis Raja-Raja pada petang ini, sekurang-kurangnya dua perkara diharapkan dapat menjadi pertimbangan.
Pertama, memohon Agong dan Majlis Raja-Raja agar menitahkan proklamasi darurat ditamatkan serta-merta.
Ternyata selama ini, darurat yang digembar-gemburkan sebagai keperluan untuk menangani Covid19 telah diselewengkan tujuannya semata-mata untuk melindungi kuasa Perdana Menteri serta membolehkan kerajaan bebas membelanjakan wang negara tanpa keperluan membentangkannya ke Parlimen.
Sebaliknya, makin lama darurat dikuatkuasakan, angka kes Covid19 semakin meninggi sehingga akhirnya kerajaan perlu kembali kepada pendekatan PKP atau total lockdown untuk mengatasinya.
Kedua, bersekali dengan penamatan darurat itu, dipohon juga kepada Agong dan Majlis Raja-Raja dengan bersandarkan kuasa darurat yang ada, agar menitahkan Parlimen dibuka serta-merta dengan tiada halangan untuk dibawa sama ada usul percaya atau usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Masalah utama Mahiaddin, selain keabsahan dan majoriti sokongannya diragui, beliau juga takut berdepan realiti undi di Parlimen dengan bertindak menangguh-nangguh sidang Parlimen, tidak membenarkan sebarang usul dibentangkan berkaitan kedudukannya dan terakhir sekali, menggantung terus Parlimen bagi membungkan sebarang cubaan mencabar kesahihannya.
Semua ini benar-benar menidakkan proses demokrasi itu dan lantaran itu, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri terus dipertikai dan diragui oleh segenap penjuru suara.
Membuka Parlimen dan membenarkan usul percaya atau tidak tidak percaya akan membolehkan seseorang Perdana Menteri itu tidak lagi dipertikaikan, tidak kira sama selepas ini Mahiddin berjaya mengekalkan kedudukannya atau pemimpin lain dipilih sebagai pengganti.
Dengan keabsahan Perdana Menteri tidak lagi dipertikaikan, selain rakyat lebih yakin kepada kerajaan, mendapatkan sokongan dan kerjasama bagi kepentingan negara juga akan lebih mudah untuk diperolehi.
Dengan yang demikian, siapa pun yang akan menjadi kerajaan dan Perdana Menteri, laluan untuk mentadbir negara tidak sesukar seperti kerajaan sekarang yang nampaknya berakal pendek kerana senang-senang membenam proses demokrasi sebagai pilihan untuk menyelamatkan diri.
Kepada Agong dan Raja-Raja Melayu – Ampuan Tuanku – rasa-rasanya dua permintaan di atas cukup sederhana untuk dipenuhi, bahkan tidak pun sampai mencecah sempadan derhaka rakyat jelata terhadap “Payung Negara”, meski ternampak macam meminta-minta.
(ShahbudinHusin 16/06/2021)