Oleh SENATOR RAJA
BAHRIN SHAH / June 23, 2021
Sangat ketara tiga negeri diterajui Pas iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah yang juga merupakan tiga negeri majoriti rakyat Melayu Islam telah meremehkan dan membelakangkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk segera mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ironinya, tiga negeri majoriti orang Melayu Islam tradisi dan
konservatif yang bertindak paling tidak menunjukkan hormat langsung kepada
institusi Raja-Raja.
Titah Yang di-Pertuan Agong pada awal tahun lalu bahawa Parlimen
boleh bersidang waktu darurat telah disambut Perdana Menteri dengan membisu dan
seolah-olah pekak.
Kali ini titah Yang di-Pertuan Agong dengan sokongan sembilan
Raja-Raja Melayu untuk Parlimen dan DUN bersidang secepat mungkin disambut
positif segera oleh semua lapan negeri kecuali tiga negeri konservatif Melayu
Islam yang dipimpin oleh Pas, sebuah parti Islam.
Pas terkenal sebagai parti yang ahli-ahlinya wala’ atau sangat
taat tidak berbelah bahagi kepada pemimpin utama mereka.
Soalan hari ini, adakah ketaatan kepada pemimpin Pas sendiri telah
jauh melebihi taat setia kepada Raja-Raja negeri dan negara dalam masa Malaysia
menghadapi situasi krisis?
Rukun Negara yang kedua menyatakan – Kesetiaan kepada Raja dan
Negara, sebagai amalan rakyat Malaysia. Pas kebelakangan ini kelihatan tidak
begitu menghormati rukun negara kedua ini.
Setiausaha Agung Pas , yang merupakan Menteri Undang-undang, telah
meremehkan titah Yang di-Pertuan Agong untuk Parlimen dan DUN bersidang secepat
mungkin dengan menyatakan, dengan ketawa kecil, Baginda tidak menyebut tarikh
pun.
Timbalan Presiden Pas pula dengan sinis menyatakan titah Baginda
mengikut perancangan kerajaan tanpa menyentuh gesaan Baginda untuk Parlimen
bersidang secepat mungkin.
Selepas titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tentang
sidang DUN disegerakan, lapan negeri diterajui oleh Bersatu, Umno, PKR dan DAP
semuanya akur kecuali negeri-negeri di terajui Pas menunjukkan trend yang amat
membimbangkan.
Adakah pendirian wala’ kepada pemimpin Pas dalam parti sekarang
beralih menjadi pendirian wala’ dalam struktur pemerintahan negeri dan negara
juga sekarang?
Pas kelihatan mendahulukan perintah dan pendirian pemimpin parti
mereka dari titah Raja-Raja di negeri mereka.
Apa terjadi kepada ajaran Presiden Pas selama ini untuk taat
kepada Raja-Raja sebagai ketua agama Islam? Adakah selepas menjadi kerajaan,
Pas berubah pendiriaan dengan mendadak?
Di Perak, ADUN Pas yang dititahkan menghadap Sultan semasa proses
pertukaran Menteri Besar tempoh hari telah ingkar menghadap.
Setelah menjadi kerajaan Malaysia dan negeri, adakah Pas mempunyai
sikap begitu angkuh sehinggakan Raja-Raja pun dipandang begitu remeh?
Selepas tujuh hari, sehingga hari ini masih tidak ada seorang
pemimpin Pas pun, dari Presiden hingga ke pemimpin peringkat negeri, menyambut
titah untuk bersidang dewan negeri dan Parlimen secepat mungkin.
Ini berbeza dari pendirian semua parti parti lain di Malaysia yang
telah menyambut baik cadangan tersebut.
Sikap Pas untuk ‘ bersaing pengaruh ‘ dengan Raja-Raja Melayu
sebagai ketua agama Islam telah kelihatan semasa Harakah, lidah rasmi Pas,
menyiarkan berita kononnya 440 NGO ‘Islam’ kononnya menyokong darurat disambung
kerana mereka sudah menjangka Raja-Raja tidak akan bersetuju ianya disambung.
Kenapa Pas guna NGO ‘Islam’ dan tidak hanya NGO biasa melainkan
mereka sengaja ingin ‘bersaing’ pengaruh dengan Raja-Raja yang merupakan ketua
agama Islam?
Tindakan Pas memalsukan banyak nama NGO Islam yang tidak mengizin
atau mengetahui pun nama mereka dimasukkan dalam senarai 440 nama tersebut,
membayangkan perancangan kotor serta terdesak untuk cuba ‘mengugat’ pengaruh
Raja Raja hari ini.
Banyak contoh hari ini menunjukkan Pas yang baharu menjadi
kerajaan sejak tahun lalu telah mabuk kuasa mempunyai cita-cita nafsu yang
lebih tinggi cuba bersaing pengaruh dengan Majlis Raja-Raja sebagai ‘pemimpin
agama’ Islam.
Pengaruh luas Pas dalam kerajaan hari ini telah kelihatan di mana
Amanat Presiden Pas, Haji Hadi Awang, di Banggol Peradong yang telah
mengkafirkan sesama Islam telah ‘hilang’ dipadamkan dari portal JAKIM oleh
tangan ghaib untuk menutup kesalahan besar mereka.
Pas ada agenda dan nafsu yang sangat besar untuk mendominasi
negara termasuk mengugat pengaruh dan kuasa Raja-Raja Melayu. Mungkin mereka
telah mengkaji dan berminat sejarah Iran.
Ini hanya baru permulaannya.Setelah merasa kelazatan kuasa serta kedudukan, mungkin Raja-Raja Melayu menjadi sasaran mereka seterusnya untuk terus kekal berkuasa dengan memperalatkan agama Islam sepenuhnya tanpa apa-apa saingan.