Berlindung di belakang perintah darurat tindakan keji
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diingatkan agar lebih bermaruah dalam pendekatan politik setelah Yang di-Pertuan Agong mengulangi titah untuk segera membuka sidang Parlimen.
Menurut Pengerusi Majis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, tindakan kerajaan PN yang ‘membeli waktu’ melengah-lengahkan tarikh pembukaan Parlimen hanya menyukarkan lagi perang melawan pandemik Covid 19 dan menghalang ekonomi untuk pulih secara cepat sebaik sahaja pandemik berakhir.
“Titah dari Istana begitu jelas mengingatkan persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Seluruh Ahli Parlimen bahkan rakyat memerhati dan memahami bahawa peringatan yang disebut sebanyak dua kali oleh Seri Paduka Baginda ini membawa makna yang segera (bukan ditangguhkan beberapa bulan).
“Sebagai sebuah kerajaan yang terbukti lemah dan cuak, ternyata strategi menutup pintu Parlimen serta bermain dengan perintah darurat semata-mata, bersifat politik dan keji.
“Mengambil semangat titah Seri Paduka Baginda yang mengutamakan situasi kesihatan dan ekonomi rakyat, bukalah Parlimen sesegera mungkin. Bentangkan segala pelan dan tindakan dan kita bahas bersama,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parimen Ledang itu lagi, tanpa pembukaan Parlimen tidak mungkin perbelanjaan kerajaan, pengagihan vaksin atau pelan pemulihan ekonomi dapat dibahas dan diambil keputusan terbaik.
Malah pelaksanaan Belanjawan 2021 sedia ada pun, katanya, lintang pukang tanpa semak dan imbang yang sewajarnya,.
“Saya dengan rendah diri menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu sekelian terhadap pasak demokrasi dalam negara ini.
“Oleh itu, situasi kritikal menghadapi pandemik ini menuntut agar sistem demokrasi berparlimen kita ini menjadi kunci ke arah negara yang bebas dari bahana penyakit dan kewangan (dengan tindakan bersama),” katanya lagi.