PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyalurkan bantuan tunai kepada golongan B40 dan M40, susulan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 selama dua minggu lagi, kata ahli ekonomi.
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia dan Yeah Kim Leng dari Sunway University bersetuju dengan saranan itu, dengan Williams berkata, RM1,500 perlu diagihkan kepada setiap isi rumah B40 dan M40.
Beliau menjangkakan ia memberi implikasi kewangan kepada kerajaan yang berjumlah RM60 bilion.
“RM60 bilion itu boleh disalurkan sebahagiannya daripada program subsidi upah dan dihentikan jika keadaan bertambah baik.
“Saya fikirkan kita sudah melepasi pelan B seperti lanjutan moratorium pinjaman atau lebih banyak pakej faedah khas. Tiba masanya untuk salurkan wang tunai secara langsung,” katanya kepada FMT.
Williams juga meramalkan lanjutan dua minggu PKP akan membawa kerugian kepada ekonomi sekitar RM7.2 bilion, atau kira-kira 0.5% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
Yeah berkata, setidak-tidaknya Putrajaya diharap meningkatkan lagi pelaksanaan subsidi upah dan bantuan lain, terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor yang dianggap tidak penting.
Beliau memberitahu FMT, mereka yang bekerja di sektor tidak formal dan bekerja sendiri juga memerlukan lebih banyak bantuan untuk bertahan daripada PKP berpanjangan, termasuk peniaga kecil, pemandu teksi dan pekerja gaji harian.
“Syarikat dari semua saiz dan kategori perlu diberi akses mudah pinjaman dan pilihan moratorium pinjaman untuk perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi bagi jangka panjang,” katanya.
Kedua-dua ahli ekonomi itu meminta kerajaan merancang strategi akhir lebih jelas untuk perniagaan kerana syarikat perlu mengoptimumkan kewangan mereka, sementara Putrajaya perlu mengelak pembukaan atau penutupan operasi.
Yeah berkata, panduan awal mengenai jangkaan tempoh PKP membantu perniagaan merancang kewangan dan operasi untuk mengurangkan kerugian.
Williams pula berkata, strategi baru diperlukan, bukannya PKP kerana ia tidak berfungsi walaupun kelihatan besar pada ekonomi.
“Kita benar-benar perlu mengasingkan pengurusan virus daripada pengurusan ekonomi. Kita tidak boleh mengawal virus dengan menutup ekonomi.”
Mereka berkata, pakej Pemerkasa Tambahan yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada 31 Mei lalu perlu ditingkatkan untuk memastikan perniagaan terus beroperasi dan menghalang pemberhentian pekerja.
Williams berkata, pakej bantuan bernilai RM40 bilion itu hampir tidak mencukupi kerana ia hanya melibatkan suntikan fiskal langsung dari kerajaan sebanyak RM5 bilion.
“Baki RM100 bilion (diperuntukkan di bawah Belanjawan 2021) yang sering disebut Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz sudah dirancang untuk fasa pemulihan. Itu tidak termasuk dalam lanjutan PKP 3.0.