POSTED BY AMIR WRLR
Keputusan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba untuk membeli 500 buah ambulans bersistem tekanan negatif, penapis HEPA dan lampu UV di saat negara mempunyai keperluan lain yang lebih mendesak dalam memberhentikan rantaian jangkitan Covid 19 menimbulkan pelbagai persoalan.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH),
keputusan itu mencetuskan spekulasi negatif apabila ia melibatkan kewangan
negara berjumlah RM300 juta.
"Apakah rasionalnya pembelian ini? Apakah data yang
ditunjukkan dalam penyelenggaraan pesakit Covid 19 ini sehingga menyebabkan Dr
Adham memutuskan untuk membeli ambulan jenis ini dan sebanyak itu?
"Berapakah jumlah anggota frontliners yang
mengendalikan pengangkutan pesakit Covid atau jenazah pesakit Covid yang telah
terjangkiti (dengan menggunakan ambulans jenis sedia ada) ataupun menyumbang
kepada kluster baru di negara ini?
"Ini adalah suatu pembaziran yang nyata dan tidak langsung
membantu dalam penyelesaian krisis pandemik Covid 19 di Malaysia.
"Alangkah baiknya jika wang itu diguna melaksanakan
perkara-perkara seperti mengambil lebih ramai sukarelawan dalam PICK serta
memperbanyakkan Program Ujian Saringan besaran-besaran, supaya isolasi segera
dapat dilaksanakan kepada mereka yang didapati positif. Cara ini sudah tentu
dapat membendung rebakan jangkitan dengan lebih efektif," kata kenyataan
itu.
Menurut jawatankuasa itu lagi, alangkah baiknya sekiranya
peruntukan mega itu digunakan untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada
rakyat bagi mendapatkan imunisasi kelompok menjelang hujung tahun ini.
"Seharusnya peruntukan diguna untuk memperbanyakkan PPV
(Pusat Pemberian Vaksin) supaya akses kepada vaksin menjadi lebih mudah,
termasuk menggalakkan dan mempermudahkan klinik-klinik swasta beroperasi
sebagai PPV di komuniti.
"Memperluaskan lagi klinik bergerak agar vaksin meliputi
lebih ramai penduduk di kawasan pendalaman dan luar bandar.
"Juga memperbanyak lagi PPV pandulalu (drive-thru)
sebagai akses mudah bagi mereka di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar.
"Kita turut mendesak supaya Menteri memberikan jawaban kepada
persoalan-persoalan ini dengan lebih telus, jelas dan dengan kadar
segera," kata mereka.
Sehubungan itu Jawatankuasa Kesihatan PH menanyakan beberapa
soalan untuk dijawab oleh Menteri Kesihatan berhubung pembelian ambulans
terbabit.
"Mengapakah Kementerian memulakan tender 500 ambulan ini
dalam keadaan yang tergesa-gesa? Adakah keputusan ini telah mendapat kelulusan
kabinet?
"Apakah pelaksanaan tender ini dilakukan secara terbuka atau
bagaimana? Dan syarikat mana pula yang telah berjaya memperolehnya?" tanya
mereka.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly
Ahmad (Kuala Selangor, AMANAH), Dr Lee Boon Chye (Gopeng, KEADILAN), Dr Ong
Kian Ming (Bangi, DAP), Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli (Lumut, AMANAH), Dr
Kelvin Yil (Bandar Kuching, DAP), Sim Tze Tzin (Bayan Baru, KEADILAN), Alice
Lau (Lanang, DAP), Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kerajaan Negeri Selangor), Dr
Norlela Ariffin (Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang), Veerapan Supramaniam (Exco
Kerajaan Negeri Sembilan), Dr Niekmah Adam (AMANAH) dan Dr Zaliha Mustafa.