POSTED BY AMIR WRLR
Kartunis
politik tanah air Zulkiflee Anwar ul Haque atau Zunar bersama NGO Hujjah Ehsan
buat julung kalinya menganjurkan pameran kartun berbentuk digital bertajuk
"The Asean Human Rights Cartoon Exhibition."
Menurut Zunar, pameran berkenaan akan berlangsung dari 3 Mei sehingga 30 Mei ini.
"Bertemakan "Hak Asasi di Negara Sendiri", ia mempamerkan 100 kartun kritis hasil karya 37 kartunis dari negara-negara Asean.
"13 kartunis dari Malaysia, 13 dari Indonesia, 4 dari Thailand, 6 dari Filipina dan seorang dari Myanmar terlibat.
"Antara isu yang difokus dalam galeri utama ialah Perintah darurat di Malaysia; Undang-undang mengenai raja di Thailand; Pembunuhan dan peperangan dadah di Filipina; Rampasan Kuasa di Myanmar juga isu Papua di Indonesia," katanya dalam satu kenyataan.
Kata Zunar lagi, penunjung juga akan disajikan dengan sebuah galeri khas Myanmar Solidarity Gallery, iaitu usaha solidariti dari para kartunis sebagai sokongan kepada rakyat negara itu yang berdepan dengan rejim tentera.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan pameran ini secara online pada 3 Mei, jam 2 petang.
"Turut berucap di majlis pelancaran tersebut ialah Yenny Wahid, anak kepada bekas presiden Indonesia Gus Dur dan Phil Robertson dari Human Rights Watch Asia," katanya lagi.
Pameran ini terbuka secara percuma kepada orang ramai. Pengunjung boleh melawat galeri dan menyertai majlis pelancaran secara dalam talian di www.craftora.com.