-
May 20 , 2021
Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar berkata, polis tidak
pernah mempertahankan pihak yang melakukan kesalahan, termasuk selebriti
mahupun orang kenamaan, jika menerima laporan berkaitannya.
PETALING
JAYA: Aktiviti ziarah sepanjang Aidilfitri adalah satu kesalahan dan tidak
dibenarkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Ketua Polis
Daerah Brickfields, Anuar Omar.
Beliau
meminta orang ramai, khususnya warganet tidak membuat tafsiran salah berhubung
kesalahan itu, termasuk spekulasi berhubung video tular membabitkan selebriti
Noor Neelofa Mohd Noor sebelum ini.
Katanya,
tuduhan polis cuba mempertahankan kesalahan selebriti itu dan keluarganya yang
melanggar SOP berkaitan larangan ziarah Aidilfitri, tidak benar.
“Jangan
sengaja putar belit kenyataan itu, yang saya maksudkan pergerakan dalam Kuala
Lumpur sahaja tidak perlu surat rentas daerah. Apa yang berlaku kepada Neelofa
dan keluarga adalah kesalahan kunjung-mengunjung.
“Ia jelas melanggar arahan dan SOP Majlis Keselamatan Negara,
iaitu tidak boleh melakukan kunjungan dan ziarah pada hari raya,” katanya
kepada FMT susulan kekeliruan orang ramai berhubung kenyataan membabitkan pelanggaran
SOP Aidilfitri oleh Neelofa dan keluarganya.
Terdahulu, video Neelofa dan keluarganya dikatakan menyambut 1
Syawal bersama di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail tular di
media sosial.
Susulan itu, polis mengambil keterangan daripada 10 ahli
keluarga Neelofa semalam.
Anuar berkata, siasatan terhadap selebriti itu dan keluarganya
sudah selesai dan dirujuk ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
Katanya, polis tidak pernah mempertahankan pihak yang melakukan
kesalahan, termasuk selebriti mahupun orang kenamaan, jika menerima laporan
berkaitannya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim
berkata, kertas siasatan berhubung video tular membabitkan keluarga selebriti
itu sudah lengkap dan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh
terdekat.
“Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Brickfields membuka kertas
siasatan di bawah Peraturan 17 [PU (A) 225/21] bagi siasatan dakwaan ziarah
raya yang dilakukan ahli keluarga tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulangi aktiviti ziarah raya, pergerakan rentas negeri
dan daerah masih tidak dibenarkan, kecuali dengan kebenaran polis.
Susulan tindakan Neelofa yang berulang kali melanggar SOP PKP,
warganet mengkritiknya gilakan perhatian.
Malah, ada yang mempersoalkan kenyataan polis menasihatkan orang
ramai tidak membuat spekulasi berhubung video tular membabitkan keluarga
selebriti itu.
Pengguna Twitter @mohamad_rol berkata, “Keluarga selebriti ini
seperti memperlekeh atau tidak menghormati kedaulatan undang-undang dengan
berkali-kali melanggar SOP. Tindakan lebih keras perlu diambil untuk mereka
ini, jika terbukti. Mungkin wang untuk bayar kompaun tu tiada masalah, tapi
selebriti ni tunjuk pekung.”
Seorang lagi pengguna @Ezuanroslam mempertahankan penjelasan
polis dengan berkata: “Jangan lawan la cakap polis. Kita tunggu la hasil
siasatan.”