Kerajaan Negeri Selangor melakukan ujian saringan percuma mulai
hari ini, DUN demi DUN bagi mengesan ‘pembawa senyap’ virus Covid 19.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha tersebut perlu dilakukan untuk mengurangkan risiko jangkitan di negeri itu dan memastikan Perintah Kawalan Pergerakan tidak disambung selepas 17 Mei ini.
"Pelan Tindakan Kesihatan Awam Negeri Selangor melaksanakan program mengesan kes positif secara aktif bagi memulakan Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19.
"Justeru, Saringan Komuniti bersasar secara percuma kepada warga Selangor bermula 8 Mei (esok) sehingga 10 Jun di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan sasaran dua DUN sehari," katanya dalam satu kenyataan.
Ujian saringan percuma ke atas kontak rapat diadakan di DUN Kajang dan DUN Semenyih pada hari ini, diikuti DUN Sungai Ramal dan DUN Balakong pada 9 Mei.
Amirudin berkata, usaha tersebut selaras dengan prinsip memerangai Covid 19 Selangor, iaitu mencari, menjejak, menguji dan mengasing pesakit.
"Kita boleh menang dalam peperangan melawan Covid-19 ini. Ajak keluarga serta rakan-rakan untuk menghadiri saringan percuma, pengesanan jangkitan lebih awal mampu mempercepatkan kemenangan kita," katanya lagi.
Lokasi dan tarikh khidmat saringan percuma yang berdekatan boleh diketahui dengan melayari http://www.amirudinshari.com/saringan-covid19