tidak perlu lockdown jika proses vaksin tidak lembab
Tindakan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau lockdown tidak diperlukan sekiranya suntikan vaksin dipercepatkan sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun lockdown disokong semua pihak untuk memutuskan rantaian Covid 19 namun ada beberapa isu yang perlu segera diselesaikan kerajaan terkait tindakan berkenaan.
“Kita dikejutkan dengan pengumuman lockdown. Sebab minggu sebelumnya tidak ada kawalan ketat, kemudian diumumkan. Ada kebijaksanaannya untuk kawasan yang dianggap sangat mengancam keselamatan rakyat.
“Tetapi kalau kita lihat peta Malaysia, kawasan yang dianggap mencabar adalah yang banyak kes. Ada kawasan pedalaman Pahang, Sarawak dan sebagainya yang kes kecil sekali. Mengapakah lockdown (diisytihar) seluruh negara, itu yang harus PM berikan penjelasan. Mengapa lockdown di kawasan yang tidak bermasalah, lebih baik sekadar kawalan minimum.
“Lockdown beri kesan ekonomi yang parah. Namun orang tak terima kerana langkah penyelesaian lambat, yang tahu lockdown. Tetapi tindakan untuk memperolehi vaksin?
“Kejayaan (menurunkan kes) di Amerika Syarikat, Eropah dan lain-lain kerana vaksin. Bila vaksin diberikan maka tak perlu fikir lockdown,” katanya dalam siaran langsung Facebook, malam tadi.
Bagi Ahli Parlimen Port Dickson itu, lockdown sepatutnya langkah terakhir dan penumpuan harus diberikan kepada usaha menyediakan dana bantuan kepada rakyat.
“Bila umum lockdown perlu umum sekali langkah bantuan kepada rakyat. Itu belum diberikan. Apakah lockdown akan percepat proses vaksin? Tiada petanda.
“Oleh itu, saya desak kerajaan putuskan sekarang juga mana-mana sektor swasta dan Kerajaan Negeri dibenarkan beli vaksin untuk langkah yang lebih berkesan. Ini demi keselamatan rakyat, jangan fikirkan soal politik, komisyen, kewangan, keuntungan peribadi sebagainya,” ujarnya.
Sebelum itu, Anwar memberitahu pasukan tindakan Covid 19 di bawah pejabat Ketua Pembangkang semalam telah menghubungi dua pakar bagi menghuraikan lebih lanjut berkenaan tindakan mengawal dan menangani Covid.
Katanya, melalui perbualan bersama Prof Dr Sanjiv Krihsna dan Prof Jamal Hisham Hashim, ditegaskan strategi sesuai menangani Covid adalah dengan mengenali masalah, strategi rawatan bersesuaian dan vaksinasi.
“Tiga perkara ini disentuh dan dikaji berdasarkan perkembangan yang berlaku.
“Bagi (pendapat) Prof Sanjiv, bagi saya agak menggerunkan dan beri peringatan kepada rakyat. Iaitu 2% daripada orang yang positif Covid akan menyebabkan 90% yang lain mendapat kesan jangkitan.
“Maknanya 1 orang boleh jangkiti 45 orang. Kewaspadaan kita tidak hanya tertakluk kepada arahan tetapi tanggungjawab mematuhi segala perintah terutama dalam SOP.
“Soal pengesanan penyakit adalah untuk menentukan ujian itu lebih menyeluruh. Sekarang ini keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (melakukan) 150,000 ujian sehari, sebab itu negeri Selangor mengambil inisiatif tambahan (saringan percuma kerajaan negeri),” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan itu menekankan perlunya kerajaan memperbanyak saringan Covid serta mengesan tanda-tanda awal jangkitan dan mempersiapkan hospital, alat pernafasan juga Unit Rawatan Rapi.
Mengenai pendaftaran vaksin, Anwar berpuas hati dengan jumlah yang agak tinggi. Malah, katanya negeri yang tertinggi mendaftar untuk mendapatkan vaksin adalah Sarawak yang lebih banyak kawasan pedalaman berbanding bandar.
Katanya, strategi pemberian vaksin juga perlu diubah untuk kasawan pendalaman dan desa.
Namun, proses kemasukan vaksin yang perlahan bagi beliau sangat memprihatinkan.
“Dari segi jumlah (ketibaan) vaksin dipertikai. Dijanji sejak Januari sekarang pergi ke akhir Jun. Pharmaniaga kata akan perolehi 4 juta vaksin akhir Jun. Tetapi penerimaan dan pengagihan itu satu soal lain.
“Vaksin tidak boleh (terus diagih) dengan kaedah yang ada sekarang (yang banyak kelemahan).
“Kita perlu turun (benarkan suntikan dilakukan) ke klinik desa dan ke klinik swasta yang kecil-kecil. Di Selangor umpamanya, Menteri Besar memaklumkan (lebih cepat proses vaksinasi dengan bantuan klinik).
“Kita gesa sekali lagi, perolehan vaksin disegerakan dan jangan berdolak dalih,” tegas Anwar.