Situasi Covid 19 Sarawak buruk, percepatkan proses vaksinasi - KEADILAN Sarawak

 



KEADILAN Sarawak menyifatkan peningkatan kes positif dan kematian meningkat secara mendadak akibat Covid-19 di negeri itu jelas berada pada tahap membimbangkan.

Dalam kenyataan bersama, peningkatan kes Covid yang mendadak itu menunjukkan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) gagal dalam menangani penularan virus pembunuh ini.

Naib Presiden KEADILAN bagi Sabah dan Sarawak, Dr Micheal Teo merasa bimbang terhadap kemampuan sistem kesihatan di negeri itu yang dikhuatiri tidak dapat menampung pertambahan pesakit setiap hari dengan setakat 30 April 2021, Sarawak mencatat 30, 659 kes positif dan 43, 815 individu dalam siasatan (PUI).

"Merujuk kepada status yang dimuat naik oleh YB Sim, yang merancang 50,000 suntikan sehari adalah satu pendekatan yang lambat dimana Ia akan mengambil masa 4 bulan untuk memvaksin 22 juta penduduk Sarawak.

"Pendekatan pantas harus diambil dengan menyokong gagasan idea Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdulah untuk melantik klinik swasta dan awam memberikan vaksin kepada penduduk Malaysia dan ia harus diadaptasi di seluruh negeri dimana klinik atau hospital awam dan swasta diberi kepercayaan untuk berganding bahu memberi vaksin kepada rakyat Sarawak," katanya.

Dr Michael juga menggesa kerajaan mempercepatkan proses pemvaksinan orang awam.

Beliau berpendapat Malaysia sepatutnya mencontohi kepantasan negara Amerika dalam proses vaksin yang nyata mampu meningkatkan daya tahan badan dan pada masa yang sama terbukti mampu menyumbang kepada penurunan kes positif Covid-19 di negara ini.

Manakala Ketua Wanita KEADILAN Sarawak, Agnes Padan kesal negeri Sarawak setiap hari mencatatkan kematian akibat Covid 19.

Katanya sejak 1 April 2021 sehingga hari ini, Covid 19 telah meragut 68 nyawa dan perkara ini harus di ambil perhatian dan Kerajaan Negeri harus memastikan kemudahan seperti mesin vantelator serta oksigen pada tahap mencukupi bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.

Agnes berkata, banyak kes pesakit yang mengalami kelewatan untuk diagnosis dan rawatan kanser serta dialisis buah pinggang kerana PKP dan penduduk luar bandar tidak mampu melakukan perjalanan jauh.

"Saya meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mencari pendekatan yang komprehensif dalam memastikan kepentingan orang awam bagi melindungi golo­ngan berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas, pesakit kro­nik, wanita hamil dan kurang daya ketahanan badan," katanya.

Pada sisi lain, Dr Michael bersetuju dengan beberapa pendapat orang awam dan pakar yang mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan semula bagi menurunkan kes dan pada masa yang sama demi memastikan keselamatan, kesihatan dan nyawa orang awam.

Dalam pada itu, KEADILAN Sarawak menerima aduan dari ramai pemohon yang mengadu tidak menerima sebarang maklum balas dari permohonan mySalam mereka.

Aduan juga diterima dari pemohon warga emas yang menyatakan seorang warga emas berumur 65 tahun ke atas yang berada di pusat kuarantin tidak layak untuk memohon mysalam kerana melepasi terma dan syarat.

Pada hakikatnya ramai warga emas daripada golongan B40 yang bergantung hidup dengan pendapatan yang paling minima iaitu petani dan pekebun secara kecil-kecilan dan tinggal jauh di ulu.

Timbalan Ketua Wanita Negeri, Zulhadiah Suboh berkata, kluster demi kluster yang di laporkan oleh KKM kian menghimpit hidup masyarakat.

"Perdana Menteri mengumumkan bantuan Kewangan Khas Aidilfitri 2021 di beri kepada penjawat awam tetapi bagaimana pula dengan nasib golongan B40, nelayan, petani, penjaja, OKU dan mereka yang hilang pekerjaan?

"Siapakah yang akan membantu mereka? Kumpulan ini juga seharusnya diberi tumpuan kerana merekalah yang sangat terkesan dan harus diberi keutamaan sekiranya kerajaan benar-benar prihatin dengan nasib rakyat peringkat bawahan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19," katanya.

Zulhaidah turut menambah adalah tidak adil kepada marhaen untuk kerajaan menangung barisan Menteri yang seramai 70 orang dengan gaji lumayan sedangkan gagal dan tidak membawa manafaat kepada pentadbiran negara.

"KEADILAN Sarawak meminta kerajaan Perikatan Nasional menjelaskan dengan telus status permohonan mySalam daripada kelompok B40.

"KEADILAN Sarawak juga meminta kerajaan Perikatan Nasional menjelaskan status tuntutan hospitalisasi bagi pesakit Covid-19, yang disyaki Covid-19 dan ditahan di pusat kuarantin KKM atau di tempat kediaman sendiri," katanya.