Salahuddin bagi jaminan tidak akan ada usul undi tak percaya jika Muhyiddin buka parlimen, bahas isu penting negara
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa membuka Parlimen dengan segera bagi membahaskan usul penting yang kian kritikal iaitu serangan Israel ke atas rakyat Palestin selain isu Covid-19.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ahli-ahli Parlimen pembangkang bersedia ke Parlimen dengan memenuhi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Malah beliau memberikan jaminan ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sebaliknya akan memberi fokus terhadap isu penting tersebut.
“Demi saudara mara kita di Palestin, demi kemanusiaan saya rasa tidak ada masalah untuk ahli-ahli Parlimen (pembangkang) untuk kita tidak membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri.
“Kita memberikan janji ini termasuk boleh dilakukan secara bertulis kerana apa yang penting Parlimen di buka, Parlimen mesti bersidang dan dunia mesti melihat Parlimen Malaysia bersidang sebagai sebuah negara umat Islam yang sangat prihatin kepada masyarakat Palestin pada hari ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian dalam sidang media ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mewakili pelbagai parti mengenai isu Palestin secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom pada Rabu.
Pada 12 Januari lalu sidang Parlimen ditangguhkan ekoran pelaksanaan darurat diumumkan Perdana Menteri.
Susulan itu, sidang Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan sepanjang perintah darurat berkuat kuasa.
Begitupun pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.