PN ADALAH KERAJAAN PALING DIBENCI, CUKUPLAH SETENGAH PENGGAL….

 

PN adalah sebuah kerajaan gagal serta kerajaan paling dibenci sekali oleh rakyat negara ini.

Rakyat pernah membenci BN, terutama ketika era Najib Razak yang terkait dengan skandal 1MDB, tetapi kebencian kepada PN jelas lebih lagi daripada kebencian kepada BN sebelum ini.

Rakyat juga pernah membenci PH, khususnya melalui tindak-tanduk Perdana Menterinya, Tun Mahathir Mohamad yang berkuasa selama 22 bulan yang dengan terang-terang enggan menunaikan janji dalam buku manifesto PRU14 dengan berkata ia bukan kitab suci.

Tetapi, kebencian rakyat kepada PH itu tidaklah seteruk kebencian rakyat kepada PN sekarang.

Membenci kerajaan boleh dikira suatu perkara biasa dalam politik, tetapi kebencian yang luar biasa adalah isyarat bahaya.

Untuk itu, tidak dijatuhkan pun sudah kita bernasib baik berikutan wujudnya kekangan tertentu bagi menghindarkan perubahan dilakukan, selebihnya PN usah bermimpi mereka akan dipilih semua melalui undi rakyat.


Sebagaimana PN tidak pernah dipilih oleh rakyat untuk menjadi kerajaan, hampir mustahil, dengan deretan kegagalan dan ketidakpuasan hati terhadapnya yang jelas dapat dilihat dan dirasai itu mampu membuatkan rakyat memilihnya lagi sebagai kerajaan.

Tamat tempoh menjadi kerajaan bagi PN sebenarnya sudah pun dipersiapkan oleh rakyat, tinggal mereka hanya perlu mengesahkannya saja lagi di kotak-kotak undi apabila tiba masanya nanti.

Keputusan muktamad UMNO memutuskan hubungan dengan Bersatu dan akan keluar daripada kerajaan sekurang-kurangnya menjelang 1 Ogos depan adalah petanda kegagalan PN itu tidak mampu dipertahankan lagi.

Jika PN sebuah kerajaan yang baik serta berkesan dan Bersatu pula merupakan rakan kongsi yang boleh dipercayai, tidak ada sebab untuk UMNO tidak boleh meneruskan kerjasamanya.

Kalau UMNO terus bekerjasama dengan Bersatu, senang-senang saja PN ini akan kekal lagi memerintah negara.

Tetapi, dengan keputusan muktamad UMNO itu, perubahan dan terbentuknya kerajaan baru selepas PRU15 akan datang tidak boleh dielakkan lagi.

UMNO yang kini menyokong kerajaan PN pun tidak mahu lagi berada di bawah naungan kuasa yang dipimpin oleh Mahiaddin Md Yasin, inikan pula rakyat yang menyaksikan sendiri serta merasai kesan kegagalan itu.

Realitinya tidak ada yang bertambah baik di negara ini sejak kerajaan pengkhianat ini beroleh kuasa, malah kerja utamanya hanya untuk memastikan kuasa dikekalkan saja, waima dengan cara kotor, tidak demokratik dan memperalatkan darurat sekali pun.

Darurat yang disedari sejak awal untuk melindungi kuasa, bukan untuk memerangi Covid19 akhirnya terbukti menjadi persaksian di mana terbukti angka kes terus mencanak di sebalik darurat yang telah lebih tiga dikuatkuasakan.

Tidakkah ini membuktikan Tuhan ingin menunjukkan bahawa semuanya adalah darurat tipu-tipuan belaka?

Maka, cukuplah setengah penggal kita disengsara dan diperdaya oleh kerajaan PN pimpinan Mahiaddin yang namanya sendiri pun kita tertipu selama ini. 


(ShahbudinHusin 08/05/2021)