PETALING JAYA: Bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad memberi amaran kepada kerajaan supaya mengambil tindakan dan langkah strategik berbeza dengan tidak menggunakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sewenang-wenangnya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengakui kegagalan sendiri kerana jika ia terus mengambil tindakan sama, maka rakyat pada hakikatnya akan “terus dizalimi”.
“PKP memang berkesan dan boleh menurunkan angka jangkitan, tetapi kesannya sangat parah untuk ekonomi dan kehidupan rakyat, khususnya golongan yang tidak makan gaji seperti berniaga dan sebagainya.”
Katanya, kegagalan kerajaan menguruskan PKP 2.0 menyebabkan rakyat terpaksa menempuh PKP 3.0 kerana itu saja “cara mudah” untuk membendung penularan Covid-19.
“Dengar pandangan pakar kesihatan, jangan ambil mudah kata fasiliti kesihatan dah terbeban, senang-senang buat PKP.
“Kegagalan kerajaan mengurus PKP 2.0 menyebabkan kita terpaksa berhadapan dengan PKP 3.0,” katanya ketika dihubungi FMT.
PKP 3.0 di seluruh negara bermula semalam hingga 7 Jun, dengan sekolah ditutup dan aktiviti sosial, termasuk ziarah Hari Raya tidak dibenarkan, susulan peningkatan jangkitan Covid-19 yang kini melebihi 4,000 kes harian. Semua sektor ekonomi bagaimanapun dibenarkan beroperasi dengan arahan bekerja dari rumah dilaksanakan.
Dzulkefly menggesa kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memperkasakan strategi “finding” (kenal pasti), “tracing” (kesan), “testing” (ujian), “isolation” (kuarantin) dan “support” (sokongan) atau FTTIS seperti dituntut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Katanya, peranan sistem amaran awal kluster Covid-19 menerusi “Hotspot Identification For Dynamic Engagement” (HIDE) perlu diperluaskan dengan kerjasama daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta KKM.