Pertandingan merebut jawatan
tertinggi Umno kini antara Mohamed Hasan, Hishammuddin Hussein dan Ismail Sabri
Yaakob.
PETALING
JAYA: Seorang pemimpin akar umbi Umno memberi amaran kepada rakan seperjuangan
yang berkhidmat di Jemaah Menteri bahawa mereka berisiko dipulaukan parti
mereka sendiri kerana Covid-19 mempengaruhi ekonomi dan kehidupan rakyat.
“Semua
orang nampak kemarahan itu,” katanya. “Ramai ahli akar umbi bimbang parti itu
akan terkesan akibat hubungannya dengan pentadbiran sekarang.
“Selepas
perhimpunan agung Umno, sudah ada gesaan untuk menteri kita meninggalkan Jemaah
Menteri tetapi mereka tetap bertahan.”
Antara
pemimpin tertinggi dalam hierarki Umno itu bercakap kepada FMT dengan syarat
identitinya dirahsiakan
Beliau berkata menteri perlu “sekurang-kurangnya berusaha untuk
memperjuangkan dasar dan langkah yang tepat” jika mereka merasa mereka
mempunyai kewajiban untuk tetap berada di Jemaah Menteri kerana keadaan
Covid-19.
Katanya mereka membahayakan Umno dengan mengabaikan gesaan pakar
“bahkan pemimpin Umno” sendiri untuk melaksanakan sekatan ketat dan singkat
serta membuka semula Parlimen dan banyak cadangan lain yang dapat membantu
kerajaan menangani wabak itu dengan berkesan.
Pemimpin Umno dalam Jemaah Menteri perlu “bangkit dan mula
bersuara” jika mereka mengimpikan jawatan kepimpinan menjelang pemilihan parti,
tambahnya.
Tiga nama disebut-sebut bakal bertanding untuk jawatan presiden
Umno pada pemilihan parti tahun ini. Mereka adalah Timbalan Presiden Umno
Mohamad Hasan, Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan
Ismail Sabri Yaakob.
Kata sumber itu: “Dari apa yang saya tahu, menteri Umno tidak
berpeluang memenangi jawatan tertinggi dalam parti. Melihat kepada keadaan
semasa, mereka mungkin hanya akan jadi orang buangan.”
Bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, Hishammuddin dan Ismail
gagal menggunakan sepenuhnya kedudukan mereka dalam Jemaah Menteri. Mereka
belum cukup lantang sebagai “voices of reason” yang berpotensi, tambahnya.
Merujuk kepada Mohamad, timbalan presiden itu “tiada masalah
untuk menyuarakan buah fikiran, lantang bila perlu”.
“Inilah sebabnya mengapa ramai ahli Umno dan orang ramai sendiri
melihatnya dengan pandangan yang sangat positif,” katanya.
“Saya tidak rasa sudah terlambat untuk Hishammudin dan Ismail
membuktikan kemampuan mereka, tetapi mereka perlu bersuara kerana wujud rasa
kurang senang dengan cara kerajaan menangani Covid-19 dan ekonomi.”
Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz, bagaimanapun, yakin
Hishammuddin perlu diberi kesempatan untuk memimpin parti kerana pengalaman
luasnya dalam kerajaan dan sebagai pemimpin kanan parti.
“Orang kata dia hilang selepas pilihan raya umum yang lalu
kerana dia tidak bertanding dalam pemilihan parti, tetapi saya tidak melihatnya
seperti ini.”
Nazri berkata beliau percaya keputusan Hishammuddin untuk tidak
bertanding merebut jawatan didorong oleh kemahuan untuk mengelakkan perpecahan
dalam parti.
Merujuk kenyataannya yang menuduh ahli Umno yang tidak keluar
dari Jemaah Menteri selepas parti itu memutuskan hubungan dengan Bersatu
sebagai pengecut, katanya, ia bukan bermaksud Hishammuddin tidak layak untuk
memimpin parti itu.
“Kritikan itu bukan gambaran sebenar karakter beliau.”