Betul sekarang bukan masanya menuding jari dan menyalahkan kerajaan. Betul ini masanya tumpuan diberi terhadap usaha mengalahkan Covid-19. Tetapi kerajaan juga mestilah bersifat terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk seteru sekali pun.
Jangan malu, jangan takut, jangan ego. Jadikan salah dan silap lalu iktibar dan ambil langkah memperbaiki. Hakikatnya tolehlah ke belakang untuk bergerak ke hadapan.
Banyak kesilapan dan salah langkah kerajaan masa lalu tidak perlu dihuraikan. Ramai sudah maklum dan lebih penting, kerajaan sendiri tentu sudah tahu. Semua ini pernah saya tulis pada artikel terdahulu.
Kini rakyat dan kerajaan nampaknya menaruh harapan kepada “full lockdown” yang akan berkuatkuasa esok 1 Jun 2021 sebagai penawar atau ubat pahit untuk melandaikan lekuk Covid-19 yang kian menokok dengan ratusan orang mati setiap hari. Selama ini pun, ramai dan pelbagai pihak mahu “full lockdown” dilaksanakan.
Tetapi Muhyiddin dan pentadbirannya keberatan. Kata perdana menteri, PKP penuh akan menjejaskan ekonomi dengan teruk walau pun beliau secara peribadi akui itu cara terbaik untuk hentikan penularan Covid-19.
Malah, Menteri Kesihatan, Adham Baba, sanggup mencadangkan PKP kendiri atau “self-imposed lockdown”, walaupun mendedahkan hampir 50,000 kanak kanak dan bayi dijangkiti Covid-19. Ini saya petik laporan FMT bertarikh 25 May lalu. Sedih dan menakutkan. Kata beliau, ibu bapa mesti ambil perhatian dan pastikan mereka memberi penjagaan dan perlindungan terbaik buat anak masing-masing.
Sepatutnya beliau umumkan langkah tegas, bukan lagi minta orang ramai menawarkan diri menjalani “self-lockdown”. Reaksi beliau hanya menyerlahkan persepi ramai bahawa kerajaan tidak mahu ambil langkah pertama. Sebaliknya, mahukan rakyat mengambil langkah sendiri. Gambarannya kerajaan hilang punca dan seakan “surrender”.
Kita tahu kerajaan mahu mengimbangi kesan penyakit dengan kesan ekonomi. Ia bukan sesuatu yang senang. Dan yang jelas, itu tak dapat, ini pun tak dapat. Covid-19 terus mengganas menjangkiti rakyat manakala ekonomi terus sengsara. Darurat tidak memberi manfaat seperti yang didakwa kerajaan masa ia diumumkan dulu.
Akhirnya, kerajaan memutuskan “full lockdown” dikuatkuasakan. “Better late than never” gamaknya. Selaras dengan itu, kita jangkakan langkah tertentu akan dijalankan bagi menolong rakyat mengharungi cabaran getir kali ini. Pun begitu, sudah ada suara-suara mengatakan lockdown kali ini tidaklah ketat seperti yang diuar-uarkan kerana masih banyak kelonggaran diberikan kepada sektor perniagaan. Sama-sama kita nantikan keberkesanannya.
Persoalan penting. Setelah lockdown apa yang akan dibuat kerajaan? Apa langkah masa panjang. Kawan lama saya, Ho Wah Foon, menulis untuk akhbar The Star berkata, Malaysia harus menimbang minta pertolongan China dalam krisis Covid-19.
Buat masa ini, penularan Covid-19 mesti dihentikan segera. Lockdown ketat boleh menghentikan virus merebak. Namun bagi pakar perubatan, itu sahaja tidak cukup. Tumpuan ialah vaksinasi yang mesti dijalankan secara menyeluruh di setiap pelusuk negara dengan cepat, agresif, cepat, dan pantas.
Ada pihak sudah mencadangkan peranan tentera diperluaskan. Sebenarnya, bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong tahun lalu ada memberi beberapa cadangan supaya tentera memainkan peranan besar untuk membantu. Malangnya cadangan tidak diendahkan dan anggota tentera ditugaskan mengawal sekatan jalan raya bersama polis.
Baiklah itu cerita lama. Cerita baru mesti dicipta. Belajarlah daripada negara lain. Setiap kali disaran Singapura dicontohi, reaksi lazim ialah Singapura lebih kecil daripada Malaysia. Oleh itu ia senang dijaga berbanding Malaysia yang jauh lebih besar.
Jujur, saya tegaskan tidak setuju dengan alasan seperti itu. Bagaimanapun untuk tidak memanjangkan polemik, saya kata baiklah kita ambil Indonesia untuk dicontohi. Bagaimana? Indonesia ada lebih 15,00 pulau dalam 34 wilayah. Penduduknya lebih 270 juta. Warga Jakarta sahaja sekitar 11 juta.
Ya, mereka ada masalah pelaksanaan SOP tertentu. Umpamanya penjarakan sosial. Penolakan vaksin dalam kalangan sesetengah golongan rakyat juga kuat. Mereka ini terpengaruh dengan ajaran anti-vaksin, hujah vaksin haram, dan sebagainya.
Namun, bak kata penyanyi Nourul Depp, Indonesia berjaya memudahkan proses pemberian vaksin secara sistematik dan efisien kepada rakyatnya. Betul apa yang dikatakan beliau walaupun diakui belum semua daerah sudah dapat vaksin yang memadai.
Keutamaan diberi kepada daerah yang penduduknya padat terutama di Jawa, Sumatera, Kalimantan, dan Sulawesi.
Di bandar besar seperti Jakarta, pendaftaran dibuat melalui organisasi atau syarikat. Bagi golongan bekerja. Waktu vaksin tiba Februari lalu “frontliner” termasuk golongan warga emas disuntik. Ada juga program gotong-royong di mana pemerintah dan pengusaha beli vaksin bersama untuk vaksinasi pekerja kilang dan syarikat mereka.
Menarik juga di kampung dan desa, golongan atuk dan nenek dijemput dengan beca (dan kenderaan lain) untuk disuntik. Percuma. Tidak perlu aplikasi berjuta ringgit. Di bandar, gelandangan yang setiap malam berteduh bawah jambatan juga dibawa untuk mendapat suntikan. Begitu juga golongan penghantar makanan, pemandu kenderaan pengangkutan awam, dan lain-lain. Hakikatnya tidak ada proses memeningkan kepala untuk dapat vaksinasi.
Wartawan sudah awal lagi disuntik. Esok 1 Jun vaksinasi tahap 4 bila mana masyarakat umum akan disuntik. Nourul Depp mahu Malaysia mencontohi Indonesia. Bagi saya contohilah siapa sahaja asalkan ia baik untuk kita.
Tidak dinafikan anggota pasukan kesihatan dan perubatan kita terus bertungkus-lumus memberi yang terbaik. Tidak dinafikan di beberapa pusat vaksinasi semua berjalan baik. Tabik hormat buat mereka.
Cuma yang diperkatakan ini ialah sistem yang dirangka kerajaan yang kakitangan dan sukarelawan di arah laksanakan. Sistem yang perlu diperbaiki. Jika perlu. Saya ulangi kata-kata pakar ekonomi, Jomo Kwame Sundaram, “Malaysia jangan bodoh sombong.”
Apabila menyebut “Malaysia”, kita tahu siapa yang dimaksudkan.
Semoga Tuhan selamatkan kita semua.