Sebelum ini Najib Razak telah dikesan melanggar SOP PKP kerana tidak mengimbas aplikasi mysejahrera dan tidak mengambil suhu badan ketika memasuki sebuah restoran nasi ayam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Sebaik menyedari kesalahannya, Najib segera tampil meminta maaf sambil mengatakan beliau bertanggungjawab atas perkara itu dan sedia membayar denda atas kesalahan yang dilakukannya.
Berikutan itu, beliau telah didenda RM3000 iaitu RM1500 bagi setiap kesalahan yang dilakukannya.
Beliau membayar denda itu semalam.
Restoran yang dikunjunginya itu turut didenda RM10,000 kerana gagal memastikan Najib mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
Semalam pula viral satu video yang memperlihatkan Tun Mahathir Mohamad juga dikesan melanggar SOP ketika memasuki sebuah surau di Langkawi untuk menyampaikan sumbangan sempena Ramadan dan Aidilfitri.
Pelanggaran SOP yang dilakukan Tun Mahathir ialah tidak memgambil suhu badan dan tidak mengimbas mysejahtera.
Hari ini, beliau tampil memohon maaf, mengakui kesilapannya dan bersedia untuk didenda berdasarkan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
“Saya minta maaf kerana tidak patuh SOP. Saya akan terima tindakan mengikut undang-undang berkaitan,” katanya.
Dengan itu, pastinya Tun Mahathir pun bakal didenda juga.
Tetapi, sebagaimana telah lama viral di media sosial, kita turut didedahkan dengan gambar Mahiaddin Md Yasin yang juga melanggar SOP iaitu tidak memakai pelitup muka ketika memasuki sebuah lobi hotel di Johor Bahru.
Dalam gambar tersebut diperlihatkan semua orang yang berada di sekeliling Perdana Menteri memakai pelitup muka, kecuali dirinya saja tidak berbuat demikian.
Namun, sehingga sekarang, selain Mahiaddin sendiri membisu mengenai kesalahan yang dilakukannya itu, pihak berkuasa juga tidak memberi reaksi apa-apa.
Jangankan ada bersuara sedia nak diambil tindakan, meminta maaf pun tidak terkeluar suara daripada mulutnya.
Kalau Najib dan Tun Mahathir boleh mengakui kesalahan, meminta maaf, sedia menerima tindakan dan membayar denda, mengapa tidak dengan Mahiaddin?
Apakah dalam hal ini Perdana Menteri ada SOP yang berbeza berbanding rakyat biasa dan bekas-bekas Perdana Menteri?
(ShahbudinHusin 12/05/2021)