Menteri Kanan balik luar negara tak kuarantin 14 hari?
Kes Covid 19 yang meningkat mendadak sejak dua minggu lalu didakwa turut dipengaruhi oleh virus varian baharu yang dibawa dari luar negeri.
Namun dalam keadaan gawat seperti itu, tetap juga berlaku layanan dua darjat yang tidak mengenakan kuarantin dua minggu kepada golongan VVIP yang kembali dari luar negara.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Akmal Nasir, layanan dua darjat tidak wajar berlaku dengan apa alasan sekali pun, terutama ke atas para menteri yang pulang dari lawatan keluar negara.
“Kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia pada 29 April 2021 jelas menyebut individu yang datang atau pulang dari senarai negara yang dilaporkan wujud penularan Variant of Concern (VOC) SARS-CoV-2 dalam komuniti perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin.
“Selain negara seperti India, Itali dan United Kingdom, negara Timur Tengah seperti Emirah Arab Bersatu (UAE) turut termasuk dalam senarai tersebut.
“Berdasarkan semakan twitter Azmin Ali, beliau serta rombongannya dikatakan pulang ke Malaysia dari UAE kira-kira 6 hari lepas, pada 5 Mei 2021.
“Namun, ciapan Azmin Ali semalam memaparkan beliau berjunjung ke IPD Putrajaya bertemu pegawai-pegawai polis. Adakah Azmin Ali tidak dikenakan arahan kuarantin 14 hari setelah pulang dari negara berisiko tinggi?” tanya Akmal dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu, para menteri tidak sewajarnya menunjukkan kekebalan sebagai mana sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 dan 2.0 lalu, yang tidak dihukum atau dikenakan hukuman ringan.
Katanya, andainya para menteri tidak dikenakan hukuman setimpal maka rakyat bawahan juga tidak akan serius untuk mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) Covid 19.
“Rakyat diberitahu mengenai penularan variasi baru Covid di negara ini mungkin menjadi penyebab PKP 3.0. Tetapi bagaimana menteri-menteri yang langgar SOP?
“Tolonglah berlaku adil dan jagalah keselamatan kami sama. Janganlah dikorbankan rakyat kebanyakan di bawah bagi menghalalkan tindakan segelintir VVIP di atas,” katanya lagi.