ARIF BASHARUDIN
Setelah tular pengumuman tergempar pada Sabtu dari kerajaan Pas
Kelantan yang mengharamkan operasi gerai jualan tepi jalan berkuat-kuasa hari
ini (Ahad), rakyat mengecam MB Kelantan Datuk Ahmad Yakob sebagai dayus kerana
tidak berani mengumumkan sendiri perkara itu.
Ini kerana, segala tindakan kerajaan negeri yang dilihat
menyusahkan rakyat tidak pernah diumumkan sendiri oleh menteri besar yang juga
Adun Pasir Pekan itu.
Dari awal lagi, segala pengumuman dari kerajaan berkaitan dengan
sekatan untuk rakyat dibuat oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamad Amar atau
Exco Dr Izani Hussin.
Dan yang terkini, pengumuman penutupan gerai tepi jalan yang
selama ini menjadi punca rezeki rakyat Kelantan yang terkenal dengan suka
berniaga itu dibuat oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan,
tanpa menyatakan siapakan orang yang bertanggungjawab itu.
Ia dibuat ketika pasaraya besar termasuk KB Mall dan Lotus Kota
Bharu yang diistiharkan oleh HIDE sebagai kawasan merah, masih dibuka dan
dikunjungi oleh orang ramai.
Dalam suatu hantaran yang dibuat oleh seorang pengguna Facebook
Ezwan Shah Nordin, jelas kecaman itu dibuat atas alasan kegagalan, tidak berani
bertanggungjawab dan ketidakcekapan Ahmad Yakob dalam mentadbir kerajaan
negeri.
Menurut beliau, sejak dari perisytiharan PKP dilaksanakan di
Kelantan, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh MB Kelantan berhubung
perkara itu dan hanya diserahkan bulat-bulat kepada Adun Kijang, Dr Izani
Hussin.
Kesan dari sikap MB Kelantan itu akhirnya menyusahkan rakyat Kelantan
terutama kepada golongan peniaga yang terkesan dengan pembatalan bazar Ramadan
dan yang terbaru pengharaman gerai jualan tepi jalan, kata beliau.
Kritikan pedas yang dibuat oleh pengguna Facebook juga dapat
dibaca dalam ruangan komen pada hantaran yang dimuat naik dalam laman sosial
rasmi MB Kelantan itu, menggambarkan tahap kemarahan rakyat kepada kegagalan
urustadbir kerajaan Kelantan yang sudah berpuluh tahun diperintah oleh Pas
selama ini.
Menurut Ezwan, di awal pengumuman kerajaan negeri mengenai PKPB
kepada PKP, beliau tidak mengkritik mahupun menbangkang kerana umum tahu isu
Covid -19 di Kelantan semakin hari semakin parah.
“Namun sejak kerajaan negeri Kelantan mengumumkan PKP, saya
menunggu daripada minggu pertama sehingga minggu kedua pengumuman rasmi
daripada Menteri Besar Kelantan YB Datuk Ahmad Yakob namun tiada.
“YB begitu dayus kerana memberi laluan kepada YB ADUN Kijang YB
Dr Izani Husin untuk membuat pengumuman berkaitan PKP. Dan memberi seribu satu
masalah kepada rakyat Kelantan yang berharapkan hasil jualan bazar.
“Kesannya amat dirasai oleh penjaja tepi jalan malahan ada juga
dengan isu saman kepada penjaja RM 50k dan ADUN Chempaka dan Panchor mendiamkan
diri berkaitan isu tersebut. Ramadhan bukan alasan untuk tidak ambil tahu pasal
rakyat,” tulis beliau lagi.
Kata Ezwan, beliau menunggu mekanisme yang terbaik daripada Adun
Pasir Pekan itu untuk mengurangkan kes kebolehjangkitan Covid-19 jika adanya
aliran trafik balik ke Kelantan.
“Jika pasar raya besar masih beroperasi dengan rancak dengan 2
pasar raya tersenarai sebagai pusat penyebaran kes melalui HIDE. Jika solat di
masjid masih berlaku. Jika di pejabat masih ramai ke pejabat walaupun boleh
Work For Home.
“Maka saya menunggu langkap proaktif daripada kerajaan negeri
Kelantan untuk memastikan kes kebolehjangkitan Covid-19 dapat diturunkan secara
drastik ataupun peringkat-peringkat.
“Jika tutup bazar dan gerai kes semakin meningkat, saranan saya
Letak Jawatan YB,” kata beliau lagi mengulas penutupan gerai tepi jalan yang
selama ini menjadi sumber rezeki utama rakyat Kelantan.