Kita memilih-milih pelaburan? Kenyataan ‘bodoh’, kata Rafidah


PETALING JAYA: Kenyataan Menteri Kanan (Ekonomi) Azmin Ali bahawa negara sekarang ini lebih selektif dari segi pelaburan yang datang disifatkan sebagai “paling bodoh” oleh bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz.

Dalam temubual eksklusif FMT, Rafidah berkata hakikatnya persekitaran pelaburan di negara jiran sekarang lebih menarik di mata pelabur.

Bulan lepas, Azmin nafi Malaysia tidak dapat menyaingi negara jiran dari segi pelaburan asing, sebaliknya lebih selektif dan mahu menarik teknologi berkualiti.

“Itu kenyataan paling bodoh, seolah-olah kita ada banyak orang mahu melabur di Malaysia. Kita tak boleh cakap macam itu.

“Orang akan kata ‘pergi jahanam lah’. Persekitaran pelaburan di negara jiran lebih menarik, bukan kerana kita selektif. Pelabur tidak mahu melabur di sini.”

Pada Januari, media melaporkan aliran masuk Pelaburan Langsung Asing (FD) ke Malaysia turun 68% pada 2020; penurunan yang lebih besar berbanding jiran serantau seperti Singapura, Indonesia, dan Vietnam.

Rafidah sedih melihat kedudukan Malaysia sekarang yang suatu ketika dulu dalam kalangan ekonomi memuncul terbaik.

Dulu, katanya, dalam misi perdagangannya di luar negara, prestasi Malaysia dihormati dan dipuji oleh peserta persidangan.

“Saya rasa sangat bangga. Hari ini, (ekonomi) Malaysia tidak jadi perbualan orang. Kedudukan kita ‘di bawah’ (tapi) rasuah kita nombor satu.”

Rafidah berkata pada zamannya, kementerian membawa masuk beberapa syarikat ke Malaysia tetapi sekarang ada beberapa syarikat sudah meninggalkan negara ini.

Ketika itu misi perdagangan akan selalu pulang dengan pelaburan “sebenar”.

“Kita tak omong-omong. Kita keluar negara dan yakinkan mereka (untuk melabur di sini)…Ini belum pergi (atau) baru balik 2-3 hari (dah) cakap (pasal pelaburan) berbilion.

“Masalahnya ialah itu hanya jangkaan awak semata-mata. Tiada padanan perniagaan. Tiada komitmen sebenar.”

Mengenai keadaan ekonomi dan hala tuju negara hari ini, Rafidah menggesa kerajaan membangunkan suatu pelan pemulihan kebangsaan menyeluruh.

“Buat sekarang, jangan tunggu Covid-19 ‘habis’,” katanya, dan menambah Parlimen harus bersidang semula supaya rancangan itu boleh dibahaskan.

Beliau juga menggesa suatu kajian teliti tentang kesan pandemik ke atas ekonomi, kesihatan mental, pendidikan, dan produktiviti dijalankan.

“Saya sangat risau, dari sekolah rendah hingga universiti, murid-murid sudah rugi hampir setahun. Itu boleh beri kesan pada produktiviti di masa depan.

“Negara lain sudah ‘dalam talian’ setiap hari. Kenapa kita tidak boleh? Kerana Kementerian Pendidikan tidak bersiap sedia,” katanya, dan menambah kementerian perlu bersiap sedia dengan lebih baik untuk masa depan.