KENYATAAN MEDIA
30 Mei 2021
BIRO POLITIK TELAH BERI AMARAN KERAS PADA ISWARDY
Pimpinan KEADILAN mengambil maklum sebuah video YouTube yang
dimuatnaik seorang individu bernama Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang
di-Pertuan Agong.
KEADILAN mengesahkan Iswardy adalah seorang anggota biasa parti
berdaftar di cabang Petra Jaya, Sarawak dan tidak memegang apa-apa jawatan di
dalam hiraki pimpinan KEADILAN Sarawak mahupun Pusat.
Kenyataan-kenyataan beliau tidak sama sekali mewakili pendirian
parti KEADILAN, sebuah parti yang menjunjung dan mempertahankan Institusi
Raja-Raja Melayu seperti tercatat dalam perlembagaan parti.
Ucapan beliau di dalam video-video sebelum ini pernah dibangkit
dan dibincang di dalam Biro Politik KEADILAN, dan keputusan telah diambil
seawal April lalu dengan memberi amaran keras kepada beliau. Parti juga telah
memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memecat
beliau sekiranya beliau mengulangi perbuatan yang sama.
Namun, oleh kerana isu video Iswardy kini telah menjadi kes
siasatan Polis Diraja Malaysia, KEADILAN akan menunggu hasil siasatan tersebut
sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap beliau.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN