FAZLI RADZI
Pengakuan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Dasuki
Abdul Rani yang disambar petir ketika mengimamkan solat tarawih dilihat
mengundang pelbagai kritikan.
Selain mempertikaikan logik ceritanya yang masih mampu
menyambung kembali solat itu, kenyataan penceramah tersebut berkenaan doa yang
didakwanya doa Maryam turut mengundang teguran.
Ustazah Maznah Daud menegaskan hal tersebut bukan perkara kecil
kerana perbezaan antara ibu dengan anak adalah tidak sama.
“Saya tidak berhajat untuk mengulas pengalamannya yang ajaib
itu. Tetapi saya terperasan dia telah tersilap menterjemahkan ayat yang dibaca
ketika solat, iaitu doa Maryam supaya Allah lindunginya daripada syaitan.
“Yang sebenarnya itu bukan doa Maryam. Sebaliknya itu adalah doa
Bonda Maryam supaya melindungi Maryam serta zuriatnya daripada syaitan.
“Rujuk surah Ali ‘Imran, ayat 36,” katanya dalam hantaran di
Facebook.
Ustazah Maznah Daud (lihat foto di atas )
Terdahulu, Ahmad Dasuki yang juga bekas calon bagi kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik mendakwa sejurus disambar petir, dia
tercampak dua saf ke belakang ketika membaca ayat dari surah tersebut.
Mengulas lanjut, Ustazah Maznah berpendapat penyokong dan
peminat Dasuki cenderung untuk mudah percaya walaupun maklumat disampaikan itu
tidak benar.
“Jika tidak diperbetulkan, orang ramai yang meminati dan
mengkaguminya, akan percaya bulat-bulat apa yang dia cakap tanpa menyemak fakta
yang sebenar,” tambahnya lagi.