PETALING JAYA – Penyebaran satu rakaman televisyen litar
tertutup (CCTV) memaparkan tindakan seorang lelaki yang didakwa mirip Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) memapah seorang wanita dipercayai untuk memasuki
bilik hotel menerima kecaman daripada netizen.
Rakaman berdurasi enam saat itu didakwa melibatkan seorang ADUN
yang sebelum ini telah dibuang daripada sebuah parti politik pembangkang.
Muat naik berkenaan turut disertai dengan satu kemaskini status
yang seolah-olah memerli dan menasihatkan tuan punya badan agar segera membuat
laporan polis.
“Seperti pernah ku lihat, macam dia tapi video kabur.
“Barangkali inilah dugaan di bulan Ramadan, kesian ‘anak-anak’
penat sangat balik beli-belah baju raya barangkali,” katanya menerusi kemaskini
status itu.
Tambah kemaskini itu, individu berkenaan perlu membuat laporan
polis kerana tidak mungkin insan tersebut yang dikenali sebagai sangat zuhud
dan baik hati berkelakuan sedemikian.
Perkongsian itu setakat ini selepas hampir dua jam dimuat naik
telah mendapat lebih kurang 1,600 tontonan, 41 komen serta 34 perkongsian.
Penularan video berkenaan bagaimanapun menerima pelbagai komen
daripada netizen yang menyifatkan ia sebagai tidak patut berlaku lebih-lebih
lagi apabila melibatkan individu yang dilantik sebagai pemimpin.
“Macam mana Malaysia tak menerima azab kalau begini pemimpin.
Seorang ‘kaki lelaki’ yang ini pula jenis ‘kaki perempuan’,” kata seorang pengguna
platform media sosial berkenaan