PETALING JAYA: PKR mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melakukan siasatan terpilih dalam isu “katak politik”.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, mengakui isu lompat parti turut berlaku di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan SPRM juga perlu melakukan siasatan.
“Pada masa lepas dalam tempoh 22 bulan PH memerintah kita juga akui ada wakil rakyat Umno yang (lompat) ikut menyertai komponen dalam PH, kenyataan kami bersikap terbuka dan terpakai kepada semua dan sepanjang masa sebab politik tak boleh dicemari dengan amalan seperti ini (lompat parti, rasuah).
“Saya setuju ia harus kalau tindakan dan siasatan dibuat tidak boleh ikut tempoh masa, yang lepas (zaman PH), sekarang (zaman PN) dan yang akan datang semua perlu disiasat. Tindakan SPRM juga tidak harus bersikap terpilih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.
Beliau mengulas kenyatan Abdul Hamid Bador, yang bersara sebagai Ketua Polis Negara hari ini, sebelum ini mahu SPRM menyiasat ahli politik yang melompat parti dengan mendakwa amalan rasuah berada “di mana-mana”.
“(Pemimpin) mabuk kuasa dan sedia membeli orang lain dan mengugut (yang enggan dibeli). Itu adalah rasuah,” katanya pada sidang media Jumaat lepas, selain mendakwa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin menyalahgunakan kedudukannya untuk campur tangan urusan polis, termasuk menyekat pertukaran pegawai pasukan itu yang bermasalah.
Saifuddin berkata, teguran terbaharu Hamid tidak boleh dianggap remeh dan SPRM tidak boleh berdiam diri kerana ia menyebabkan rakyat akan hilang keyakinan terhadap badan peguatkuasa di negara ini.
“Bola sekarang di kaki SPRM, yang buat pendedahan ini bukan calang-calang orang, beliau Ketua Polis Negara, kalau SPRM memilih berdiam diri itu adalah satu yang malang buat negara kita,” katanya.