ISWARDY MORNI

May be an image of 1 person and text that says "Meni elama. manya prang Mengamp tersalal ZUKRI AKSAH GERAK KETUA KOMUNIKAS NASIONAL P PERT UBUHAN PERUBAHAN RAKYAT MALAYSIA (GERAK)"

Sejujurnya, saya tidak kenal secara peribadi dengan Iswardy Morni. Saya akui ada nada "lancang" dalam hantaran terakhirnya yang dituju kepada Yang di-Pertuan Agong, yang membawa kepada campurtangan polis.

Saya sudah mengingatkan kelmarin itu tentang perasaan rakyat mutakhir ini yang bercampur-baur. Kelancangan ini adalah terjemahan akan ketidaksabaran yang sedang bersarang di jiwa rakyat, pastinya bukan hanya Iswardy seorang.

Sejarah sudah menunjukkan kita, bahawa ketidaksabaranlah yang membuatkan Jebat mengamuk dan merampas istana, Laksamana Bentan mengamuk dan membunuh Sultan Mahmud di atas julang. Ya, kedua-duanya mati di akhir cerita, tetapi kena ingat, mati Laksamana Bentan, mangkat juga Sultan, bukan sekadar mangkat, bahkan terputus keturunan dan pewarisan Kerajaan Johor Riau. Selepas itu Bendahara Paduka Abdul Jalil naik takhta sebagai Sultan.

Saya ingin bertanya secara jujur, apakah kita semua mengenang orang seperti Jebat dan Laksamana Bentan sebagai penderhaka? Kalau ya, bagaimana dengan tindakan berani Tan Sri Annuar Musa satu ketika dahulu yang menabalkan Sultan Kelantan yang lain dengan menidakkan Sultan Kelantan yang sudah sedia bersemayam di singgahsana? Ohhh, cerita itu mungkin terlalu lama... Kalau anda ingat, bukankah permintaan kali pertama Kerajaan Muhyiddin (baca Mahiaddin) untuk Agong membuat proklamasi darurat telah ditolak? Dan Speaker Dewan Negara, Rais Yatim telah bereaksi segera dengan menyindir dan mempertikaikan keputusan Agong.

Saya akui, cara Iswardy Morni memperolok Yang di-Pertuan Agong agak keterlaluan dan lancang. Tetapi adakah itu penderhakaan? Kalau Iswardy menderhaka, maka Rais Yatim juga derhaka, Annuar Musa juga derhaka, bahkan jauh lebih teruk.

Jebat dan Laksamana Bentan adalah pembesar negara pada zaman mereka, tetapi mereka tidak kebal dari titah Raja (bahkan Hang Tuah yang tersohor itu juga). Apakah orang seperti Rais Yatim dan Annuar Musa adalah "pembesar" yang lebih

hebat

dari Jebat dan Laksamana Bentan? Lebih

hebat

dari Hang Tuah? Kalau begitu tidak perlulah kita belajar kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka dan Johor Riau, rupanya tidaklah segemilang dan sehebat mana "pembesar" mereka berbanding orang seperti Rais Yatim dan Annuar Musa.

Sungguh sangat tidak bernasib baik orang seperti Iswardy, kerana dia hamba rakyat yang biasa-biasa sahaja, yang "tidak mengapa" untuk dihilang dan dikorbankan.

Sebenarnya, sebahagian yang tidak bersetuju dengan bahasa Iswardy itu bukan jujur pun, sekadar kerana perseteruan dan kepentingan politik. Sebahagian lagi pula tidak bersetuju bukanlah kerana kata-kata, cara, maksud atau Raja yang dilibatkan, rasa tidak bersetuju itu lebih kepada sentimen darah-daging Melayu, Melayu seperti yang dinukil oleh SN Allahyarham Usman Awang;

"Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah

Kecut takut kerana benar,

Janji simpan di perut

Selalu pecah di mulut,

Biar mati adat

Jangan mati anak..."

Menipulah selama-lamanya, asal bersopan, orang Melayu tidak akan marah. Mengampulah selama-lamanya, asal ada "alas," orang Melayu tidak akan kisah. Iswardy tersalah menjadi Melayu yang salah.

Patik pacal yang hina,

 

Zukri Aksah

Ketua Komunikasi Nasional

Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia - GERAK

#AkuKeadilan #kamikeadilan #neoreformia #keadilan21tahun #keadilan22tahun #KitaLawan #DSAI4PM #LawanTetapLawan #reformasi98 #GERAK98 #GERAKANREFORMASI98 #MuhyiddinOut #KerajaanGagal #istananegara #agongkita

Anwar Ibrahim Dr Wan Azizah Wan Ismail Mohamad Ezam Nor Iswardy Morni Official Parti Keadilan Rakyat Pakatan Harapan Gerakan Reformasi Nasional