Henti jual senjata api, beri Israel dana, Pemuda PH beritahu AS


Mohamad Fadli

 -

May 21, 2021 

 

Pemuda Pakatan Harapan meminta AS memantau dan memastikan rejim Zionis mematuhi perjanjian gencatan senjata dengan Hamas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pemuda Pakatan Harapan (PH) menyeru Amerika Syarikat (AS) menghentikan penjualan senjata api dan pemberian dana ketenteraan kepada Israel.

Tuntutan itu terkandung dalam memorandum berhubung konflik antara Palestin dan Israel yang dikemukakan sayap gabungan pembangkang itu kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, mereka turut menggesa Washington menyemak semula hubungannya diplomatiknya dengan Tel Aviv.

Katanya, rekod menunjukkan kerajaan AS menyalurkan dana sebanyak USD3.8 bilion setiap tahun kepada rejim Zionis.

“Kami berdiri teguh bersama resolusi yang dicadangkan di Dewan Senat AS oleh Senator Bernie Sanders bahawa kerajaan AS perlu menghentikan rancangan menjual senjata sebanyak USD735 juta kepada Israel,” katanya pada sidang media di luar Kedutaan AS hari ini bersama 10 wakil Pemuda PH.

“Kami mendesak kerajaan AS, terutamanya Presiden Joe Biden membuktikan kepada rakyat Amerika dan dunia ini bahawa kepemimpinannya sememangnya percaya dan mempertahankan hak asasi manusia dan semua nyawa penting, tidak kira #BlackLivesMatter atau #PalestineLivesMatter.”

Shazni berkata, pihaknya menyambut baik gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang sepatutnya berlaku lebih awal, bukannya selepas lebih 200 warga Palestin terkorban.

Tetapi, mereka mahu AS memantau dan memastikan rejim Zionis mematuhi perjanjian itu.

“Israel mempunyai kecenderungan melanggar perjanjian gencatan senjata seperti yang berlaku pada 2014,” katanya.

Beliau turut menyifatkan serangan udara Israel yang menyebabkan ramai warga Palestin terbunuh sebagai sejenayah perang dan melampaui batas kemanusiaan.

Gencatan senjata yang bermula 2 pagi waktu tempatan itu, dicapai selepas Hamas dan Israel menerima cadangan Mesir untuk menamatkan keganasan rejim Zionis selama 11 hari.